KUALA LUMPUR – Hasrat petarung wanita negara, Jihin Radzuan untuk mendahului 2-0 dalam persaingan menentang Itsuki Hirata tidak kesampaian apabila tewas menerusi keputusan sebulat suara pada ONE SAMURAI 4 di Ariake Arena, Tokyo, Jepun, hari ini.
Keputusan itu turut menutup peluang Jihin memburu gelaran dunia seni bela diri campuran (MMA) wanita atomweight ONE yang masih kosong.
Ketiga-tiga juri memberikan kemenangan kepada wakil Jepun itu dalam pertarungan yang berlangsung sengit.
Jihin, 28, sebelum ini menewaskan Hirata, 27, menerusi keputusan berpecah pada ONE X di Singapura pada 26 Mac 2022, sekali gus menghadiahkan kekalahan pertama dalam karier petarung Jepun berkenaan.
Memulakan pertarungan ulangan dengan baik, Jihin memberikan saingan menerusi pertukaran posisi dan aksi di atas gelanggang, selain dilihat lebih menyerlah dalam pertarungan berdiri pada pusingan pertama.
Bagaimanapun, Hirata yang memiliki latar belakang judo beberapa kali berjaya mengambil posisi belakang Jihin, namun gagal menamatkan pertarungan menerusi kelebihan tersebut.
Momentum perlawanan mula memihak kepada Hirata pada pusingan kedua apabila dia membawa pertarungan ke lantai sebelum melancarkan beberapa serangan lutut bertubi-tubi ke arah Jihin berhampiran sangkar.
Serangan itu secara beransur-ansur melemahkan Jihin, manakala Hirata dilihat yakin dengan kemenangan sebaik loceng penamat dibunyikan.
Kekalahan itu merupakan yang kedua berturut-turut buat Jihin selepas tewas menerusi keputusan berpecah kepada Anastasia Nikolakakos pada Julai lalu.
Sebelum itu, Jihin mencatat kemenangan ke atas Gabriela Fujimoto menerusi penamat pada pusingan ketiga Februari lalu.
Sepanjang kariernya, Jihin turut mencatat kemenangan ke atas Hirata dan Mei Yamaguchi, selain pernah bertarung sehingga tamat masa menentang bekas juara dunia, Denice Zamboanga dan Stamp Fairtex.
ONE sebelum ini memaklumkan pemenang pertembungan tersebut bakal berada dalam perebutan gelaran ONE Women’s Atomweight MMA World Championship yang masih belum dimiliki mana-mana petarung. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – ONE
