KUALA TERENGGANU – Asia Pacific University of Technology & Innovation (APU) menyatakan minat untuk memberi pengalaman homestay kepada mahasiswa antarabangsa bagi membolehkan mereka memahami secara lebih dekat kehidupan masyarakat Malaysia, khususnya di Terengganu.
Perkara itu dimaklumkan dalam pertemuan dan perbincangan antara Ahli Lembaga Koperasi Homestay Terengganu (KHTK) dan pengurusan KHTK bersama Pengarah Student Engagement APU, Dr Sarvinder Kaur Sandhu serta Exco Kelab UNESCO APU.
Menurut Dr Sarvinder, APU kini mempunyai kira-kira 18,000 mahasiswa, dengan 10,000 daripadanya terdiri daripada pelajar Malaysia manakala 8,000 lagi adalah mahasiswa dari 130 negara luar.
Dalam pertemuan itu, APU turut bersetuju menghantar 10 mahasiswa dari lima negara Asia Tenggara bagi menyertai ASEAN Youth Forum yang dijadualkan berlangsung pada 27 dan 28 Oktober 2026 di Homestay Teluk Ketapang.
Selain itu, APU akan menghantar 20 mahasiswa dari Asia dan 10 mahasiswa dari Asia Tenggara untuk menyertai Asian Youth Conclave 2026 di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) pada Disember depan.
Program berkenaan turut disertai 50 pensyarah dan mahasiswa dari Nepal, India, Pakistan, Sri Lanka serta Bangladesh bagi membincangkan isu dan masalah perubahan iklim di Asia.
KHTK berharap pertemuan serta kerjasama antara APU dan KHTK itu dapat memberi manfaat kepada kedua-dua pihak, selain membantu mempromosikan kempen Visit Truly Terengganu 2027 kepada mahasiswa APU dari luar negara. – DETIK MALAYSIA
