BAGAN DATUK – Kira-kira 3.5 ekar kebun sawit terbakar dalam kejadian kebakaran kebun di Sungai Haji Muhammad, di sini, semalam.
Kejadian dilaporkan berlaku pada kira-kira pukul 12.45 tengah hari selepas Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) Bagan Datuk menerima laporan daripada orang awam.
Anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) bersama anggota bomba kemudian menjalankan kerja-kerja pemadaman bagi mengawal kebakaran berkenaan.
Menurut APM Bagan Datuk, kebakaran berjaya diatasi dan dipadamkan sepenuhnya pada pukul 6.50 petang.
Tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian itu. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – Apm Bagan Datuk
