Timbalan Rektor Akademik & Pengantarabangsaan UC TATI, Ts. Dr. Mohd Najib Muhamed(dua dari kanan) sewaktu menanti penerbangan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur sebelum berlepas ke Guangzhou, China.
KEMAMAN – Kolej Universiti TATI (UC TATI) membuka laluan baharu kepada pelajarnya untuk mendapatkan pendedahan pendidikan antarabangsa apabila sembilan pelajar dihantar ke China bagi mengikuti laluan pengajian dalam bidang kejuruteraan, sains komputer dan pengurusan perniagaan.
Langkah itu menjadi sebahagian usaha UC TATI memperluas peluang pendidikan merentasi sempadan, selaras dengan perubahan keperluan industri yang semakin menuntut graduan mempunyai pengetahuan dan pengalaman dalam persekitaran kerja global.
Timbalan Rektor Akademik dan Pengantarabangsaan UC TATI, Ts. Dr. Mohd Najib Muhamed berkata jalinan kerjasama strategik dengan pemegang taruh antarabangsa penting dalam memastikan institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan terus menyediakan graduan yang relevan dengan perkembangan semasa.

“Kita perlu keluar dari zon selesa sama ada sebagai pemegang taruh dalam sektor pendidikan tinggi mahupun bagi pelajar itu sendiri untuk masa depan masing-masing dalam keperluan industri global masa kini. Masing-masing hadir dengan tanggungjawab besar untuk membina generasi baru yang akan memacu ekonomi mahupun kemajuan untuk tanah air kita ini.
“Kita tidak boleh nafikan yang China sememangnya kuasa besar dunia yang mendahului banyak sektor industri termasuk bidang teknologi yang secara tidak langsung menjadi asas dalam kehidupan seharian masa kini. Sebalik ledakan industri teknologi ini juga secara asasnya adalah satu urusniaga perniagaan di peringkat global yang menjadi tambah nilai untuk melahirkan graduan berkaitan yang berkualiti,” ujar beliau.

Beliau berkata Yayasan Terengganu (YT) turut memainkan peranan besar dalam membuka ruang pendidikan global kepada pelajar UC TATI, khususnya anak-anak Terengganu, sekali gus memberi peluang kepada mereka mendapatkan pengalaman pengajian dalam persekitaran antarabangsa.
Bagi kumpulan pertama yang dihantar ke China, sembilan pelajar berkenaan ditempatkan di Guangzhou Huashang Vocational College (GHVC) dan perlu mengikuti pengajian bahasa Mandarin sebagai persediaan menduduki peperiksaan Hanyu Shuiping Kaoshi (HSK). Mereka kemudiannya akan meneruskan pengajian khusus di peringkat ijazah dalam bidang masing-masing, sekali gus melengkapkan pengalaman akademik mereka dengan pendedahan kepada persekitaran pendidikan dan industri di China. – DETIK MALAYSIA
