KUCHING – Tampines Rovers FC mengakui Kuching City FC bukan lawan mudah menjelang pertembungan pembukaan Shopee Cup 2026/27 di Stadium Taha Ariffin, malam esok.
Ketua jurulatihnya, Nazri Nasir berkata, Kuching City memiliki kualiti tersendiri berdasarkan prestasi konsisten sejak tiga hingga empat musim lalu selain dibarisi pemain tempatan dan import berkualiti.
“Kami sememangnya tahu Kuching City bukan pasukan yang mudah untuk dihadapi. Saya fikir mereka beraksi dengan sangat baik, terutama dalam Liga Super Malaysia,” katanya pada sidang akhbar praperlawanan di Stadium Taha Ariffin hari ini.
Menurut Nazri, persiapan rapi sudah dilakukan termasuk mengkaji corak permainan Kuching City bagi memastikan pasukannya mampu memberikan aksi terbaik.
Beliau turut menjangkakan tuan rumah akan tampil dengan motivasi tinggi, terutama beraksi di laman sendiri selepas mengalami kekalahan pada aksi pembukaan Liga Juara-Juara AFC Dua (ACL2).
“Saya fikir mereka sangat dahagakan keputusan, terutama bermain di tempat sendiri. Mereka pasti mahu mendapatkan keputusan positif,” katanya.
Dalam pada itu, Nazri turut teruja untuk bertemu ketua jurulatih Kuching City, Aidil Sharin Sahak yang disifatkannya mempunyai pengalaman luas dalam saingan bola sepak serantau.
Menurutnya, Aidil yang juga berasal dari Singapura sudah lama berada dalam kancah Liga Super Malaysia dan memiliki pengalaman mengendalikan pasukan pada tahap berkenaan.
“Saya fikir dia mempunyai banyak pengalaman di peringkat itu. Jadi, saya fikir bagus untuk melihatnya kembali,” katanya.
Tampines Rovers bagaimanapun hadir dengan keyakinan tersendiri selepas menjalani persiapan khusus selama tiga hingga empat hari.
Nazri menyifatkan anak buahnya berada pada tahap terbaik dan bersedia sepenuhnya untuk menghadapi cabaran The Cats. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – TRFC
