KUCHING – Kuching City FC mahu menjadikan aksi di laman sendiri sebagai titik perubahan apabila membuka kempen Shopee Cup 2026/27 menentang Tampines Rovers FC dari Singapura di Stadium Taha Ariffin, malam esok.
Ketua jurulatih Kuching City, Aidil Sharin Sahak berkata, peluang beraksi di hadapan penyokong sendiri perlu dimanfaatkan sebaik mungkin selepas pasukannya mengalami dua keputusan mengecewakan dalam aksi sebelum ini.
Menurutnya, dua perlawanan berkenaan masing-masing dalam saingan ACL Two dan liga berlangsung di gelanggang lawan.
“Kalau lihat dua perlawanan sebelum ini, ACL Two dan liga, kami tidak beraksi dengan baik, tetapi kedua-duanya adalah di tempat lawan.
“Kali ini kami bermain di tempat sendiri dan kami sememangnya mahu mengubah keadaan itu dengan mendapatkan keputusan positif,” katanya pada sidang akhbar hari ini.
Bagaimanapun, Aidil tidak mahu anak buahnya memandang mudah kemampuan Tampines Rovers yang disifatkannya sebagai pasukan berkualiti dan berpengalaman di pentas antarabangsa.
“Kami tidak boleh memandang rendah lawan, sebaliknya perlu bermain mengikut pelan permainan.
“Kami perlu lebih kuat, agresif dan mendominasi permainan. Tidak kira dari mana lawan datang, perkara paling penting adalah kami mendapat sokongan penuh,” katanya. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – Kuching City FC
