JOHOR BAHRU – Ketua jurulatih Vissel Kobe, Michael Skibbe enggan menjadikan faktor ketiadaan beberapa tonggak utama sebagai alasan selepas tewas 0-1 kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) pada aksi AFC Champions League Elite 2025/26 di Stadium Sultan Ibrahim, malam tadi.
Menurut pengendali dari Jerman itu, kekalahan tersebut bukan berpunca daripada barisan yang dirotasi, sebaliknya kualiti dan kematangan taktikal JDT yang memaksa pasukannya bertahan hampir sepanjang 95 minit permainan.
Walaupun beberapa pemain utama direhatkan, Skibbe menegaskan skuad yang diturunkan tetap kompetitif. Namun, tekanan berterusan dan transisi pantas Harimau Selatan nyata menyukarkan pergerakan Vissel Kobe.
“Saya tidak mahu mencari alasan mengenai pemain yang tiada. JDT bermain sangat baik. Malah, kami bernasib baik apabila dua gol mereka dibatalkan. Mereka menghukum kami atas satu kesilapan kecil di penghujung permainan dan itulah tahap pertandingan ini,” katanya.
Beliau turut mengakui pergerakan dan intensiti JDT sentiasa mengundang bahaya serta kerap memecahkan benteng pertahanan pasukannya.
Biarpun tewas, Vissel Kobe tetap layak ke pusingan 16 terbaik. Bagi Skibbe, aksi di Johor itu menjadi peringatan penting buat pasukannya untuk meningkatkan kualiti dan kedalaman skuad menjelang saingan kalah mati.
Kekalahan tersebut jelas membuktikan bahawa JDT kini bukan lagi pasukan pelengkap jadual, sebaliknya pencabar serius di pentas Asia. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – AFC