KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menegaskan bahawa Amerika Syarikat (AS) turut bersubahat dalam jenayah kemanusiaan yang dilakukan oleh Israel terhadap rakyat Palestin di Gaza.
Beliau berkata, kegagalan dunia menghentikan pembunuhan beramai-ramai terhadap penduduk Gaza membuktikan bahawa kerajaan, proses undang-undang, dan tindakan awam semuanya telah gagal mengekang kekejaman rejim Zionis itu.
“Israel sekali lagi menghalang penghantaran bantuan ke Gaza. Seperti tahun 2010, cubaan membawa bekalan kemanusiaan digagalkan. Kini tiada apa lagi yang mampu menghentikan genosid ini,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Dr. Mahathir mendakwa, sokongan penuh AS terhadap Israel menjadi punca utama mengapa kekejaman tersebut berterusan, termasuk pembunuhan orang awam, serangan terhadap hospital serta wartawan.
“Amerika Syarikat tidak boleh melepaskan diri daripada menjadi rakan kongsi dalam perang genosid di Gaza. AS yang memveto resolusi gencatan senjata di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), dan senjata serta dana yang digunakan juga datang dari AS,” katanya.
Tambahnya, Amerika kini telah hilang kelayakan moral untuk menjadi negara yang kononnya memperjuangkan hak asasi dan keamanan dunia. - DETIK MALAYSIA
Foto kredit - AFP