DENGKIL – Golongan rentan kini mempunyai peluang baharu untuk mengubah kehidupan apabila Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) memperkenalkan Anjung Dinamik sebagai hab sosial holistik yang memfokuskan pemerkasaan komuniti secara menyeluruh.
Inisiatif yang digerakkan menerusi Yayasan Kebajikan Negara (YKN) itu dilancarkan sempena lawatan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri, di sini semalam.
Menurut Nancy, pendekatan Anjung Dinamik memberi nafas baharu kepada sistem kebajikan negara yang sebelum ini lebih bersifat bantuan sementara.
“Anjung Dinamik mencerminkan pendekatan baharu dalam kebajikan sosial, iaitu beralih daripada bantuan bersifat sementara kepada pemerkasaan yang mampan.
“Ia memberi ruang kepada golongan sasar untuk membina keyakinan diri, meningkatkan kemahiran dan seterusnya menjana pendapatan serta kehidupan yang lebih bermaruah,” katanya.

Anjung Dinamik dibangunkan sebagai pusat sehenti yang menggabungkan latihan kemahiran, sokongan psikososial serta peluang ekonomi dalam satu ekosistem inklusif.
Antara kumpulan sasar ialah B40, ibu tunggal, wanita sebagai pencari nafkah utama, banduan wanita serta individu daripada program Anjung Sinar.
Berteraskan nilai KASIH – Kasih Sayang, Akhlak Mulia, Sihat, Ilmu dan Harmoni – pelbagai kemudahan disediakan termasuk Kafe Ngopi dan CeritA, Galeri Mekar Dinamik, studio podcast serta bilik kaunseling.
Kafe “Ngopi dan Cerita” menjadi platform latihan kemahiran dalam suasana perniagaan sebenar, manakala Galeri Mekar Dinamik membuka ruang kepada usahawan wanita, individu OKU dan banduan wanita memasarkan hasil kreativiti mereka.
Dalam masa sama, Bilik Kaunseling Mindness Kasih PSSS memainkan peranan penting dalam meningkatkan kesedaran mengenai kesihatan mental, keganasan rumah tangga dan gangguan seksual.
Kemudahan penginapan melalui Program Anjung Sinar pula disediakan bagi membantu lepasan institusi Jabatan Kebajikan Masyarakat menyesuaikan diri sebelum kembali berdikari.

Nancy berkata, pendekatan bersepadu itu selari dengan aspirasi Malaysia Madani dalam memperkukuh jaringan keselamatan sosial yang lebih inklusif dan berdaya tahan.
“Usaha ini bukan sahaja membantu dari segi kebajikan, tetapi membina keupayaan individu untuk berdikari dan menyumbang semula kepada masyarakat,” ujarnya.
Inisiatif yang disokong di bawah Belanjawan 2026 itu akan terus diperluas, termasuk dalam bidang latihan seperti terapi kecantikan, dandanan rambut, jahitan, pastri dan kraftangan.
Langkah tersebut sekali gus membuktikan komitmen kerajaan dalam membina ekosistem sosial yang mampan dan berimpak tinggi demi kesejahteraan rakyat. – DETIK MALAYSIA