PETALING JAYA – Ketua jurulatih Kim Pan-gon menegaskan pasukannya tidak berdepan tekanan, sebaliknya hanya berbekalkan tekad tinggi menjelang aksi separuh akhir pertama ASEAN Club Championship menentang wakil Vietnam, Nam Dinh FC malam esok.
Menurut pengendali Selangor FC itu, aksi di laman sendiri di Stadium MBPJ perlu dimanfaatkan sepenuhnya bagi mencipta kelebihan awal sebelum perlawanan timbal balik.
“Kami tiada tekanan, hanya ada tujuan. DNA kami adalah mengawal permainan dan mendominasi lawan,” katanya.
Tambah Pan-gon, Selangor akan tampil dengan corak permainan agresif serta tekanan tinggi seawal wisel permulaan bagi memastikan mereka berada di landasan terbaik.
“Nam Dinh pasukan yang kuat, tetapi kami yakin. Bermain di tempat sendiri memberi kelebihan dan kami mahu tunjuk keyakinan itu di atas padang,” jelasnya.
Dalam masa sama, beliau tidak berselindung mengenai sasaran utama adalah kemenangan wajib diraih bagi membuka laluan ke final.
“Keputusan di laman sendiri sangat penting. Kami perlu menang sebelum bertandang ke Vietnam untuk mendapatkan kelebihan. Layak ke final akan beri impak besar kepada kelab dan penyokong,” ujarnya.
Selangor hadir ke perlawanan ini dengan momentum positif dalam saingan domestik, selain kekuatan jentera serangan yang mengamalkan pergerakan dinamik serta tekanan tinggi dijangka menjadi senjata utama mengekang cabaran Nam Dinh.
Aksi dijadual berlangsung malam esok jam 9 malam di Stadium MBPJ, dengan Gergasi Merah tekad memanfaatkan sorakan penyokong sebelum mengharungi perlawanan kedua di bumi Vietnam. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – SFC