BANGKOK – Arena sukan tempur negara kembali mencuri perhatian apabila tiga pejuang Malaysia bakal menggalas cabaran di pentas ONE Friday Fights 153 yang dijadual berlangsung di Lumpinee Stadium pada 8 Mei ini.
Di bawah anjuran ONE Championship, kejohanan mingguan berprestij itu terus menjadi platform terbaik buat bakat baharu menyerlah di peringkat antarabangsa, dengan wakil negara kali ini tampil dalam beberapa aksi Muay Thai berbeza.
Tumpuan terarah kepada Adam yang bakal berdepan wakil Perancis, Enzo Clarisse dalam kategori strawweight. Pertembungan itu dijangka menguji ketajaman teknik serta ketenangan Adam menentang lawan berprofil tinggi dari Eropah.
Sementara itu, Rifdean Masdor bakal berdepan ujian getir apabila turun menentang pejuang tuan rumah Thailand, Petkiattisak dalam aksi atomweight. Beraksi di gelanggang keramat Lumpinee pastinya bukan tugas mudah, namun Rifdean dilihat bersemangat untuk membuktikan kemampuannya di bumi lawan.
Seorang lagi wakil negara, Wan Muhammad Sabri pula dijadual bertemu pejuang Mexico, Aldo Cruz dalam kategori flyweight. Aksi ini dijangka sengit dengan gaya agresif pihak lawan yang sering memberi tekanan tanpa henti.
Acara tersebut akan dibahagikan kepada dua segmen iaitu ‘The Inner Circle’ bermula pukul 7.30 malam waktu Malaysia, diikuti kad utama ONE Lumpinee 153 pada 9.30 malam yang menampilkan pertarungan berprofil tinggi Muay Thai dan MMA.
Antara pertarungan tumpuan lain menyaksikan bintang Thailand, Worapon menentang wakil Perancis, Tom Casse selain kehadiran barisan pejuang dari Asia Tenggara, Jepun dan pelbagai negara lain yang melengkapkan kad pertarungan penuh aksi.
Dengan semangat Jalur Gemilang di dada, ketiga-tiga pejuang negara dijangka membawa cabaran sengit demi mengharumkan nama Malaysia di pentas antarabangsa. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – ONE