ISKANDAR PUTERI – Pertahanan Matthew Davies menegaskan rekod pertemuan lalu tidak akan menentukan keputusan aksi separuh akhir pertama Shopee Cup apabila Johor Darul Ta’zim berdepan Buriram United nanti.
Menurut Davies, meskipun mengakui Buriram merupakan lawan yang kuat dan pernah mencipta kesukaran buat JDT sebelum ini, skuad Harimau Selatan perlu memberi fokus sepenuhnya terhadap prestasi semasa.
“Kami menghormati Buriram sebagai pasukan yang kuat dan pernah menyusahkan kami sebelum ini.
“Tetapi rekod lalu tidak menentukan perlawanan ini. Apa yang penting adalah bagaimana kami beraksi sekarang,” katanya.
Davies turut menyuarakan keyakinan terhadap kemampuan JDT memanfaatkan kelebihan beraksi di laman sendiri di Stadium Sultan Ibrahim.
“Kami sudah buktikan mampu menewaskan pasukan-pasukan kuat di laman sendiri. Itu memberikan kami keyakinan,” ujarnya.
Dalam masa sama, pemain berpengalaman itu menegaskan semangat berpasukan dan keyakinan tinggi perlu diterapkan sekiranya JDT mahu memburu kejuaraan ASEAN Club Championship (ACC).
“Sebagai satu pasukan, kami perlu bermain dengan penuh keyakinan. Setiap pemain mahu memenangi trofi ACC ini dan kami perlu tunjukkan keinginan itu di atas padang,” katanya.
Peranan Davies dijangka menjadi tonggak penting dalam mengemudi benteng pertahanan JDT bagi mengekang ancaman jentera serangan Buriram dalam aksi penting tersebut. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – JST