YAB Perdana Menteri, Dato' Seri Anwar Ibrahim. mempengerusikan Mesyuarat Berhubung Status Pelaksanaan Pelan Strategik Halatuju FELDA 2026 - 2030 dan Pertemuan bersama warga kerja FELDA di Menara Felda, Kuala Lumpur. 5 Mac 2026. IZZUDDIN ABD RADZAK/Pejabat Perdana Menteri. NO SALES; NO ARCHIVE; RESTRICTED TO EDITORIAL USE ONLY. NOTE TO EDITORS: This handout videos may only be used for editorial reporting purposes for the contemporaneous illustration of events, things or the people in the visual or facts men
SHAH ALAM – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim digesa, mengambil peranan kepimpinan diplomatik dengan memulakan gerakan anti-perang Selatan Global serta menyeru agar mesyuarat tergempar Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) diadakan segera.
Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Mohd Azmi Abdul Hamid, berkata gesaan itu dibuat susulan peningkatan konfrontasi ketenteraan yang melibatkan Amerika Syarikat dan Israel terhadap Republik Islam Iran yang dilihat semakin membimbangkan.
Menurut beliau, perkembangan tersebut berpotensi mencetuskan konflik serantau yang lebih besar di Asia Barat sekali gus memberi kesan serius terhadap keamanan global, kestabilan ekonomi serta keselamatan tenaga dunia.
“Pada saat genting ini, dunia tidak boleh berdiam diri sementara tindakan ketenteraan unilateral menjejaskan undang-undang antarabangsa dan mengancam kedaulatan negara,” katanya dalam satu surat terbuka kepada Perdana Menteri.
Beliau turut menegaskan bahawa Malaysia selama ini dikenali sebagai negara yang berprinsip dalam dasar luar serta sering menjadi suara moral bagi negara-negara Selatan Global.
Sehubungan itu, badan berkenaan percaya Malaysia berada pada kedudukan yang sesuai untuk menggerakkan tindak balas diplomatik kolektif yang mengutamakan keamanan, keadilan serta pematuhan terhadap undang-undang antarabangsa.
Dalam surat tersebut, Mapim mengemukakan beberapa cadangan kepada kerajaan Malaysia.
Antaranya termasuk memulakan Gabungan Anti-Perang Selatan Global yang melibatkan negara dari Asia, Afrika dan Amerika Latin bagi menolak peningkatan ketenteraan serta menyokong penyelesaian konflik secara diplomatik.
Selain itu, Mohd Azmi turut mencadangkan agar Malaysia menyeru mesyuarat tergempar OIC bagi merumuskan pendirian bersama dunia Islam terhadap konflik yang semakin memuncak serta bagi melindungi kestabilan serantau.
Mapim juga mencadangkan supaya Malaysia melibatkan Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM) dan rakan ASEAN untuk menyokong usaha antarabangsa bagi meredakan ketegangan melalui dialog aman.
Di samping itu, Malaysia disaran memainkan peranan lebih aktif dalam sistem Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi menyokong campur tangan diplomatik segera bagi mengelakkan konflik daripada terus meluas.
Mapim menegaskan bahawa negara-negara Selatan Global yang mewakili majoriti penduduk dunia tidak boleh kekal pasif ketika perebutan kuasa geopolitik mengancam kestabilan global.
“Malaysia berpotensi memainkan peranan bersejarah dalam menyatukan negara-negara yang bertanggungjawab untuk mempertahankan undang-undang antarabangsa serta mencegah penyebaran perang,” katanya.
Menurut Mapim, ketika ini dunia memerlukan kepimpinan berprinsip, diplomasi kolektif dan komitmen yang tegas terhadap usaha mengekalkan keamanan sejagat. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – Anwar Ibrahim