QINGDAO – Skuad badminton lelaki negara memulakan saingan Kumpulan D Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2026 dengan langkah bergaya selepas menewaskan Myanmar 5-0 di Pusat Sukan Qingdao, China, semalam.
Kemenangan bersih itu mengesahkan slot Malaysia ke suku akhir, namun aksi pembukaan menyaksikan sedikit kebimbangan apabila perseorangan pertama negara, Justin Hoh berdepan tentangan lebih sengit daripada dijangka.
Berstatus ranking ke-38 dunia, Justin dipaksa bekerja keras oleh Hein Htut yang berada di kedudukan ke-145 dunia sebelum menang 21-18, 21-19 dalam tempoh 48 minit.
Walaupun meraih mata pertama, persembahan tidak konsisten Justin mencetus tanda tanya menjelang pertembungan lebih mencabar selepas ini.
Perseorangan kedua negara, Eogene Ewe tampil lebih meyakinkan apabila menundukkan Nyan Shaine Lin 21-10, 21-14 untuk meletakkan Malaysia selesa 2-0.
Bintang muda meningkat naik, Kong Wei Xiang kemudian memastikan Malaysia mengunci kemenangan awal selepas mudah menewaskan Lal Zuidika 21-11, 21-11 untuk mendahului 3-0.
Gandingan beregu ‘ad hoc’ Aaron Tai dan Yap Roy King tidak berdepan masalah menewaskan Shaile Lin dan Phone Htet Zaw 21-11, 21-9.
Beregu kedua negara, Choong Hon Jian dan Muhammad Haikal Nazri melengkapkan malam sempurna Malaysia apabila membelasah Phyo Thurain Kyaw dan Zuidika 21-9, 21-7.
Kemenangan 5-0 itu menyaksikan Myanmar terus kempunan selepas turut tewas kepada Indonesia sehari sebelumnya.
Cabaran sebenar Malaysia hadir esok apabila bertemu Indonesia dalam aksi penentuan juara Kumpulan D yang turut menentukan laluan ke peringkat kalah mati. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – Badminton Asia