ATLANTA – Pendatang baharu Piala Dunia, Cape Verde mencipta kejutan besar apabila mengikat bekas juara dunia, Spain tanpa jaringan dalam aksi pembukaan Kumpulan H di Stadium Mercedes-Benz, awal pagi tadi.
Membuat penampilan sulung di pentas Piala Dunia, Cape Verde mempamerkan aksi penuh disiplin dan semangat juang tinggi untuk meraih satu mata bersejarah menentang juara dunia 2010 itu.
Keputusan tersebut dianggap satu kejayaan besar buat wakil Afrika berkenaan, manakala Sepanyol pula terpaksa berpuas hati dengan permulaan yang kurang menyengat dalam kempen kali ini.
Sejak wisel permulaan, Sepanyol menguasai permainan dan mencipta beberapa peluang, namun gagal menembusi benteng pertahanan Cape Verde yang tersusun serta kebal sepanjang 90 minit.
Penjaga gol veteran berusia 40 tahun, Vozinha, muncul wira pasukan apabila beberapa kali menyelamatkan gawangnya daripada dibolosi.
Sepanyol yang dibarisi pemain berpengalaman seperti Rodri dan Marc Cucurella turut merasai ketiadaan dua tonggak muda mereka, Nico Williams dan Lamine Yamal, apabila jentera serangan kelihatan kurang berbisa.
Peluang terbaik Sepanyol hadir menerusi Ferran Torres, namun rembatan kencangnya berjaya ditepis cemerlang oleh Vozinha untuk memastikan kedudukan kekal seimbang.
Semakin perlawanan menghampiri penghujung, para pemain Sepanyol jelas semakin tertekan apabila gagal menghasilkan peluang berkualiti untuk memecahkan kebuntuan.
Sebaliknya, Cape Verde terus bertahan dengan penuh disiplin sebelum meraikan keputusan bersejarah sebaik wisel penamat ditiupkan.
Keputusan seri itu menyaksikan Kumpulan H kini terbuka luas menjelang aksi kedua. Cape Verde bakal berdepan Uruguay pada 22 Jun, manakala Sepanyol dijadual menentang Saudi Arabia dalam usaha memburu kemenangan pertama mereka. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – RFEF