KUALA LUMPUR – Dasar pembangunan desa negara perlu dinilai semula bagi memastikan kawasan luar bandar tidak terus kehilangan identiti, fungsi ekonomi dan daya tahan akibat urbanisasi yang semakin pesat.
Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Mohd. Azmi Abdul Hamid berkata, pembangunan yang terlalu tertumpu kepada bandar menyebabkan penghijrahan belia, penyusutan tanah pertanian, kemerosotan ekosistem, kehilangan warisan budaya serta semakin lemahnya institusi sosial di desa.
Menurut beliau, desa tidak lagi boleh dianggap sebagai kawasan yang hanya menunggu limpahan pembangunan bandar, sebaliknya perlu diiktiraf sebagai aset strategik negara dalam menjamin keterjaminan makanan, keseimbangan alam sekitar, ketahanan sosial, ekonomi tempatan dan kesejahteraan rakyat.
“Sudah tiba masanya Malaysia menilai semula falsafah pembangunan desa. Persoalan yang perlu dijawab ialah sama ada model pembangunan negara hari ini benar-benar menjamin kelestarian masa depan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, model pembangunan sedia ada terlalu menumpukan kepada pertumbuhan fizikal dan nilai hartanah sehingga kejayaan sering diukur melalui pembinaan lebuh raya, kawasan perumahan, pusat komersial dan perindustrian.
Katanya, keadaan itu menyebabkan tanah pertanian semakin berkurangan apabila sawah, dusun dan kebun ditukar kepada projek pembangunan, selain mendorong belia berhijrah ke bandar kerana peluang ekonomi di desa yang terhad.
“Malah kampung tradisional semakin pupus, sungai, hutan serta kawasan tadahan air semakin terancam, manakala warisan budaya desa pula terus terhakis. Jika trend ini berterusan, Malaysia berdepan risiko kehilangan benteng penting kepada keselamatan makanan dan keseimbangan ekologi,” ujarnya.
Sehubungan itu, beliau mencadangkan Kerangka Desa Lestari Malaysia yang berpaksikan 10 teras utama, antaranya memperkukuh keterjaminan makanan negara, membangunkan ekonomi desa bernilai tinggi, memelihara alam sekitar, memperkasa belia, menyediakan infrastruktur pintar serta memelihara warisan budaya.
Cadangan itu turut merangkumi pengukuhan tadbir urus desa, adaptasi terhadap perubahan iklim, pembangunan pendidikan berasaskan konsep Multiversiti serta pewujudan Indeks Desa Lestari Malaysia bagi mengukur kesejahteraan luar bandar berdasarkan aspek ekonomi, sosial, alam sekitar, budaya dan tadbir urus.
Beliau berkata, visi kerangka itu ialah membina Desa Lestari sebagai asas kepada Malaysia yang mampan, berdaya tahan dan sejahtera menjelang 2050.
“Kemajuan sesebuah negara tidak boleh hanya diukur melalui pencakar langit dan pertumbuhan bandar. Kemajuan sebenar ialah apabila desa terus hidup, tanah pertanian kekal subur, sungai sentiasa bersih, masyarakat terus bersatu dan generasi muda melihat desa sebagai tempat yang menjanjikan masa depan.
“Jika desa runtuh, negara kehilangan akar. Jika desa diperkasakan, Malaysia akan memiliki asas pembangunan yang lebih seimbang, lestari dan berdaya tahan,” katanya. – DETIK MALAYSIA
