KUALA LUMPUR – Sebarang usaha untuk melemahkan atau melumpuhkan Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) disifatkan sebagai serangan langsung terhadap kedaulatan undang-undang antarabangsa serta prinsip keadilan sejagat.
Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Mohd. Azmi Abdul Hamid berkata, tindakan itu bukan sekadar pertikaian antara sesebuah kerajaan dengan institusi kehakiman antarabangsa, sebaliknya mengancam masa depan keadilan global.
Menurut beliau, ICC diwujudkan bagi memastikan individu yang didakwa melakukan jenayah berat seperti pembunuhan beramai-ramai, jenayah terhadap kemanusiaan, jenayah perang dan pencerobohan tidak terlepas daripada tindakan undang-undang.
“Walaupun ICC mempunyai kelemahan dan pernah dikritik kerana penguatkuasaan yang tidak seimbang serta tekanan politik, penyelesaiannya ialah melalui pembaharuan, bukannya memusnahkan institusi itu ketika ia mula menyiasat individu yang dilindungi kuasa-kuasa besar,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, sebarang usaha untuk mengugut hakim, pendakwa raya atau mengenakan sekatan terhadap individu serta organisasi yang bekerjasama dengan ICC merupakan cubaan menghalang proses keadilan.
Katanya, tindakan sedemikian hanya akan mewujudkan budaya kebal undang-undang, sekali gus menjejaskan keyakinan masyarakat antarabangsa terhadap sistem keadilan global.
Mengulas isu kedaulatan negara, Mohd. Azmi menegaskan ICC tidak mendakwa sesebuah negara, sebaliknya individu yang didakwa melakukan jenayah paling serius berdasarkan peruntukan Statut Rom dan prinsip pelengkap (complementarity).
“Sebuah negara yang menjalankan siasatan secara bebas dan adil tidak perlu takut kepada ICC. Kedaulatan tidak boleh dijadikan alasan untuk melindungi pelaku jenayah perang atau jenayah terhadap kemanusiaan,” katanya.
Beliau turut mendakwa tekanan terhadap ICC berkait rapat dengan usaha melindungi pemimpin Israel daripada tindakan undang-undang berhubung dakwaan jenayah terhadap rakyat Palestin.
Katanya, siasatan terhadap dakwaan tersebut perlu diteruskan secara bebas tanpa campur tangan politik dan sebarang bukti perlu dinilai menerusi proses kehakiman.
Menurut beliau, negara-negara anggota Statut Rom perlu mempertahankan kebebasan ICC dengan menolak tekanan politik, melindungi hakim, pendakwa raya, saksi dan organisasi masyarakat sivil yang bekerjasama dengan mahkamah itu.
Pada masa sama, beliau berkata, ICC juga perlu memperbaiki kelemahannya termasuk mempercepatkan prosiding, meningkatkan ketelusan dan memastikan undang-undang antarabangsa dilaksanakan secara adil tanpa mengira kedudukan atau pengaruh mana-mana pihak.
“Mahkamah yang lemah perlu diperkukuh, bukannya dimusnahkan. Keadilan mesti mengatasi ugutan dan tiada siapa boleh diletakkan di atas undang-undang,” katanya. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – OFFICIAL WHITE HOUSE
