SINGAPURA – Ketua jurulatih Singapura, Gavin Lee mengumumkan senarai 25 pemain yang akan menggalas cabaran skuad The Lions pada Kejohanan Piala Hyundai ASEAN 2026 yang berlangsung dari 24 Julai hingga 26 Ogos ini.
Skuad Singapura yang mara ke separuh akhir pada edisi 2024 kali ini menampilkan gabungan pemain berpengalaman dan bakat muda dengan sasaran sekurang-kurangnya mengulangi pencapaian tersebut.
Tumpuan terarah kepada pemilihan penjaga gol berusia 39 tahun, Ridhuan Barudin yang dipanggil menggantikan Rudy Khairullah selepas penjaga gol itu mengalami kecederaan.
Ridhuan yang beraksi bersama Hougang United kembali menyertai skuad kebangsaan selepas mempamerkan aksi cemerlang pada penghujung saingan Liga Perdana Singapura musim lalu.
Menurut Lee, pengalaman serta kepimpinan Ridhuan mampu memberi nilai tambah kepada pasukan.
“Kami sememangnya kecewa dengan kecederaan Rudy yang bekerja keras sepanjang kem latihan. Ridhuan bukan sahaja memiliki kualiti di atas padang, malah merupakan pemain berpengalaman yang memahami kepentingan meletakkan pasukan mengatasi segala-galanya,” katanya.
Turut kembali menyertai skuad kebangsaan ialah pertahanan serba boleh, Akram Azman yang kali terakhir dipanggil pada November tahun lalu.
Pada masa sama, tiga pemain muda iaitu Luth Harith (18 tahun), Raoul Suhaimi (20) dan Nathan Mao (18) berjaya menempatkan diri dalam senarai akhir selepas mempamerkan prestasi meyakinkan.
Singapura masih mengekalkan tonggak berpengalaman seperti Hariss Harun, Irfan Fandi, Song Uiyoung dan penyerang Shawal Anuar yang sudah meledak 19 gol di pentas antarabangsa.
Skuad The Lions akan membuka kempen Kumpulan A menentang Kemboja di Phnom Penh pada 24 Julai sebelum melayan Timor-Leste di laman sendiri tiga hari kemudian.
Selepas itu, mereka bakal berdepan juara bertahan Vietnam di Hanoi pada 31 Julai sebelum menutup aksi peringkat kumpulan menentang Indonesia pada 7 Ogos. Hanya dua pasukan terbaik setiap kumpulan akan mara ke separuh akhir. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – FAS
