JOHOR BAHRU – Pengendali Pohang Steelers, Park Tae-ha mengakui Johor Darul Ta’zim (JDT) memiliki kualiti tinggi, namun menegaskan pasukannya bersedia memberikan tentangan dalam aksi Liga Juara-Juara AFC Elit (ACLE) 2026/2027 di Stadium Pohang Steelyard, Korea Selatan malam ini.
Park berkata, pihaknya sudah mengkaji corak permainan Harimau Selatan berdasarkan pertemuan kedua-dua pasukan musim lalu dan menjangkakan aksi sengit dalam perlawanan peringkat liga Zon Timur itu.
“Kami bertemu Johor tahun lalu, jadi kami sudah mengetahui strategi dan corak permainan mereka. Memandangkan ini perlawanan di laman sendiri, kami akan memberikan yang terbaik untuk memperoleh keputusan positif,” katanya pada sidang akhbar praperlawanan.
Pohang tewas 1-3 kepada Beijing Guoan dalam aksi pembukaan ACLE musim ini, manakala prestasi mereka dalam saingan domestik turut tidak konsisten.
Kemenangan 2-1 ke atas FC Seoul sebelum rehat antarabangsa menamatkan rentetan empat perlawanan tanpa kemenangan, namun mereka kembali tewas 0-3 kepada Incheon United pada Jumaat lalu.
Park berkata, JDT memiliki ramai pemain import berpengalaman dan berkualiti yang perlu diberikan perhatian khusus, terutama dari segi kepantasan, tempo permainan dan kemahiran individu.
“Mereka sebuah pasukan bertaraf tinggi dalam semua aspek termasuk kepantasan, tempo dan teknik. Kami perlu berwaspada terhadap ancaman mereka,” katanya.
Menurutnya, Pohang sudah mengenal pasti kekuatan pasukan sendiri untuk dimanfaatkan di laman sendiri selain berbincang dengan pemain mengenai cara menghadapi tekanan daripada JDT.
Walaupun tempoh persiapan agak singkat, Park menegaskan anak buahnya akan memberikan segala-galanya bagi mendapatkan keputusan positif.
Mengulas kekalahan kepada Incheon United, beliau mengakui pasukannya tidak mempamerkan aksi yang mampu memuaskan hati penyokong.
“Kami memperoleh keputusan buruk di tempat lawan. Pemain dan saya sendiri tidak membuat persiapan yang cukup baik dan saya rasa kami tidak menunjukkan persembahan yang boleh memuaskan hati penyokong.
“Perkara itu sudah berlalu. Jika kita jatuh, perkara paling penting ialah bangkit semula. Saya mahu pemain tidak hilang semangat, segera pulih dari segi mental dan memberikan tumpuan kepada perlawanan esok,” katanya.
Sementara itu, pemain Pohang, Kim Dong-jin menyifatkan JDT sebagai pasukan terbaik di Malaysia yang memiliki kekuatan serangan, kualiti individu serta beberapa pemain berpengalaman beraksi dalam liga utama.
Bagaimanapun, Kim percaya persiapan yang dilakukan bersama Park mampu membantu pasukannya menghadapi cabaran juara Malaysia itu.
“Jurulatih sudah membuat persiapan dengan baik. Sebagai pemain, kami perlu kekal fokus. Jika kami dapat melaksanakan apa yang dirancang di atas padang, keputusan baik akan menyusul,” katanya.
Kim turut meluahkan keterujaan untuk kembali beraksi di Stadium Pohang Steelyard selepas kerja-kerja stadium dan beberapa faktor lain memaksa Pohang bermain banyak perlawanan di laman sendiri di Sangju musim ini.
Katanya, sokongan penyokong di stadium berkenaan sentiasa memberikan suasana seperti beraksi di laman sendiri, sekali gus meningkatkan semangat pemain menjelang pertembungan dengan JDT malam ini. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – Pohang Steelers
