KAJANG – Polis sedang mengesan saksi bagi membantu siasatan kemalangan maut membabitkan sebuah motosikal dan lori di Kilometer 13.1 Lebuh Raya Cheras-Kajang, di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof memaklumkan pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu kira-kira pukul 6 petang semalam.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati penunggang motosikal berusia 23 tahun itu dalam perjalanan dari Kuala Lumpur menghala ke Kajang sebelum dipercayai hilang kawalan lalu terjatuh di atas jalan.
Menurutnya, pada masa sama, sebuah lori yang bergerak terus di laluan berkenaan dipercayai tidak sempat mengelak sebelum melanggar mangsa.
“Akibat kejadian itu, penunggang motosikal warga tempatan berkenaan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
“Polis turut memaklumkan setakat ini, tiada laporan polis dibuat oleh pemandu lori terbabit,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987
Sehubungan itu, orang ramai yang menyaksikan kejadian atau mempunyai maklumat berkaitan diminta tampil membantu siasatan, khususnya mereka yang mempunyai rakaman kamera papan pemuka (dashcam) atau video ketika melalui lokasi berkenaan.
Maklumat boleh disalurkan kepada pegawai penyiasat, Insp. Nur Faezah Mohd Zakria menerusi talian 012-326 8496.
Polis turut menasihatkan pengguna jalan raya supaya sentiasa berhati-hati, mematuhi peraturan lalu lintas serta had laju yang ditetapkan. – DETIK MALAYSIA
