PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menerima aduan rasmi berhubung isu membabitkan My EG Sdn. Bhd. (MyEG) dan Zetrix AI Berhad pada 7 Oktober lalu.
SPRM dalam kenyataan hari ini memaklumkan pihaknya mengambil maklum bahawa isu berkenaan sedang disiasat oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Sehubungan itu, SPRM akan bekerjasama rapat dengan PDRM bagi meneliti serta berkongsi maklumat berkaitan siasatan berkenaan kesalahan di bawah bidang kuasa polis.
Menurut SPRM, PDRM akan menyalurkan maklumat sekiranya terdapat elemen rasuah untuk tindakan lanjut suruhanjaya itu.
Pada masa sama, SPRM mengalu-alukan kerjasama mana-mana pihak untuk menyalurkan maklumat tambahan berkaitan isu berkenaan.
SPRM turut mengingatkan semua pihak supaya tidak membuat spekulasi atau menyebarkan berita tidak sahih yang boleh menjejaskan proses siasatan.
SPRM menegaskan pihaknya tidak akan berkompromi dan akan menjalankan siasatan secara bebas, adil serta berlandaskan undang-undang. – DETIK MALAYSIA
