KUALA LUMPUR – Kemunculan Rodney Celvin dalam pencalonan 10 Pertahanan Terbaik Liga M Awards 2025-2026 bukan sahaja menjadi pencapaian peribadi terbaik buatnya, malah turut mencerminkan kekuatan benteng pertahanan Kuching City FC yang tampil cemerlang sepanjang musim lalu.
Ini merupakan pencalonan pertama Celvin bagi kategori ini sepanjang kariernya menyaksikan penghijrahannya ke Kuching City sejak dua musim lalu telah banyak membuka peluang untuk dia membina karier di tahap terbaik.
Dengan kejayaan Kuching City merangkul naib juara Liga Super 2025-26 turut menyaksikan kualiti yang ada pada setiap pemain di kelab itu termasuklah barisan pertahanan mereka yang berjaya memberikan sesuatu kepada pasukan kali ini apabila hanya bolos 14 gol berbanding 28 gol dalam aksi Liga Super dua musim lalu.
Dan sudah tentu, pemain berusia 30 tahun itu antara yang perlu diberi tumpuan menerusi 32 penampilannya pada musim lalu yang berjaya menambah kekebalan benteng pasukan untuk cuba merebut gelaran Pertahanan Terbaik buat kali pertama.
“Perasaan memang gembira apabila tercalon dalam 10 pertahanan terbaik tapi saya tahu tak mudah nak menang sebab bersaing dengan pertahanan lain yang ada jauh lagi bagus sebenarnya.
“Tapi saya tetap bersyukur dengan pencalonan ini dan prestasi konsisten bersama Kuching City memang banyak membantu saya untuk terus perbaiki diri di atas padang selain rakan-rakan sepasukan yang sentiasa beri sokongan baik dalam latihan atau di luar padang.
“Bagi saya selaku pertahanan, setiap perlawanan memang rutin kami di benteng pertahanan akan bincang untuk buat satu sasaran agar kita tidak mudah dibolosi dan bagaimana kita nak terus ada motivasi bantu sesama sendiri dalam apa jua situasi.
“Persefahaman sangat penting dan jurulatih sangat tekankan untuk kami tetap bersatu tidak kira kalah atau menang dan pencalonan ini sudah tentu akan terus beri saya semangat berterusan untuk memberikan aksi lebih agresif untuk kelab ini pada musim hadapan,” jelasnya.
Selain Celvin, 9 lagi calon lain yang bakal merebut trofi Liga M Awards bagi kategori Pertahanan Terbaik adalah Quentin Cheng (Selangor FC), Kamal Azizi (KL City FC), Declan Lambert (KL City FC), Ubaidullah Shamsul Fazili (Terengganu FC), Shahrul Nizam Ros Hasni (Terengganu FC), Zikri Khalili (Selangor FC), Azam Azmi Murad (Terengganu FC),
Harith Haiqal (Selangor FC) dan La’vere Corbin-Ong (JDT). – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – MFL
