KUALA LUMPUR – Penggunaan Surah al-Hasyr ayat 18 ketika pembentangan Belanjawan 2027 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, perlu dinilai berdasarkan ilmu, ketepatan bahasa Arab dan adab terhadap al-Quran.
Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) menerusi pandangan Cikgu Azmi berkata, perkara utama yang perlu diperjelaskan ialah maksud perkataan lighad, konteks ayat berkenaan serta kesesuaiannya sebagai prinsip perancangan masa depan.
Menurut kenyataan itu, perbahasan politik tidak seharusnya menyebabkan makna ayat al-Quran dipermudah-mudahkan atau ungkapan yang mempunyai asas bahasa dan tafsiran dipersendakan tanpa penelitian.
“Allah SWT berfirman dalam Surah al-Hasyr ayat 18 yang bermaksud, ‘Dan hendaklah tiap-tiap diri melihat dan memerhatikan apa yang telah disediakannya untuk hari esok’,” menurut kenyataan itu hari ini.
Jelasnya, dari sudut bahasa Arab, perkataan lighad bermaksud ‘untuk hari esok’, manakala dalam konteks utama ayat berkenaan, ia merujuk kepada persediaan amal untuk akhirat.
Menurutnya, para pentafsir termasuk Imam al-Tabari dan Imam al-Qurtubi menjelaskan bahawa perkataan ghad dalam ayat tersebut merujuk kepada Hari Kiamat, dengan al-Qurtubi turut menerangkan penggunaan perkataan ‘esok’ sebagai gambaran masa hadapan dalam bahasa Arab.
Sehubungan itu, dua perkara perlu dibezakan, iaitu makna asal ayat yang menekankan persediaan amal untuk akhirat dan aplikasinya dalam pentadbiran yang membawa prinsip muhasabah, persediaan serta tanggungjawab terhadap masa depan.
“Penggunaan ayat sebagai asas renungan tentang masa depan tidak dengan sendirinya bermaksud makna asalnya telah diubah. Yang penting ialah konteksnya dijelaskan dengan tepat,” menurut kenyataan itu.
Dalam ucapan Belanjawan MADANI Kelima 2027, Anwar menghuraikan lighad sebagai ‘untuk hari esok’ dan menghubungkannya dengan tanggungjawab merancang masa depan, membina asas kukuh serta memikirkan warisan untuk generasi akan datang.
Kenyataan itu turut merujuk laporan Bernama pada 11 Oktober lalu yang menyebut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan, menjelaskan maksud lighad dalam konteks persediaan untuk akhirat serta mengingatkan orang ramai supaya tidak memperolok-olokkan ayat suci.
Menurut MAPIM, kritikan terhadap Belanjawan 2027 tetap dibenarkan dalam sebuah negara demokrasi, termasuk berkaitan peruntukan, keutamaan pembangunan, hutang negara, kebajikan rakyat dan keberkesanan pelaksanaan dasar.
Bagaimanapun, perbahasan yang melibatkan ayat al-Quran perlu berpandukan ilmu, ketepatan bahasa dan adab, selain merujuk ahli tafsir serta ulama berautoriti jika terdapat perbezaan tafsiran.
Pada masa sama, penghormatan terhadap al-Quran tidak seharusnya dijadikan alasan untuk menutup perbahasan dasar atau menganggap setiap kritikan terhadap ucapan pemimpin sebagai penghinaan agama.
“Yang perlu dinilai ialah kandungan, konteks dan cara sesuatu kenyataan disampaikan,” menurut kenyataan itu.
MAPIM menyeru semua pihak, sama ada kerajaan mahupun pembangkang, supaya mengembalikan perbahasan berkenaan kepada ilmu, fakta, tafsir yang muktabar dan kematangan berpolitik.
Katanya, masyarakat perlu menilai Belanjawan 2027 berdasarkan manfaatnya kepada rakyat, sambil mengambil pengajaran daripada al-Quran mengenai amanah, muhasabah dan tanggungjawab terhadap masa depan.
“Jangan jadikan al-Quran mangsa perseteruan politik. Jadikanlah al-Quran panduan untuk membina negara yang lebih adil, amanah dan bertanggungjawab,” menurut kenyataan itu. – DETIK MALAYSIA
