SHAH ALAM – Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) mendakwa tuduhan pentadbiran Donald Trump terhadap Iran sebagai “pengganas, tidak stabil, menindas dan mengancam” sebenarnya mencerminkan amalan pentadbirannya sendiri terhadap rakyat Amerika Syarikat (AS) dan masyarakat antarabangsa.
Presidennya, Mohd. Azmi Abdul Hamid berkata, kenyataan serta dasar Trump bukan mencerminkan keselamatan atau diplomasi, sebaliknya unjuran dan kemunafikan yang terselindung di sebalik naratif rasmi.
“Ini bukan dasar luar yang bertanggungjawab, tetapi strategi untuk menutup salah laku sendiri dengan menuding jari kepada pihak lain,” katanya dalam satu hari ini.
Mohd. Azmi berkata, ketika Trump menuduh Iran menindas rakyatnya, pentadbirannya sendiri melaksanakan serbuan agresif oleh Imigresen dan Penguatkuasaan Kastam (ICE), memisahkan keluarga, menahan kanak-kanak serta mengkriminalkan migran yang mencari perlindungan.
“Ketakutan dijadikan alat pemerintahan,” tegasnya.
Mapim turut menyelar retorik dan dasar Trump yang didakwa menggalakkan kumpulan supremasi kulit putih, menghalalkan keganasan perkauman serta menormalisasikan ucapan kebencian.
“Ekstremisme hanya ditoleransi apabila ia menguntungkan kuasa,” katanya.
Dalam aspek ekonomi, Mapim mendakwa sekatan dikenakan ke atas negara lain, namun dalam negara sendiri, gaji tidak meningkat, akses penjagaan kesihatan terhad, jurang kaya-miskin melebar dan elit korporat menerima penyelamatan besar-besaran.
“Ia adalah bentuk keganasan ekonomi terhadap rakyat biasa,” ujarnya.
Beliau turut menuduh pentadbiran Trump menyalurkan berbilion dolar senjata kepada Israel, melindungi jenayah perang serta membolehkan pembunuhan beramai-ramai di Gaza sambil menyekat sebarang pertanggungjawaban antarabangsa.
“Pendudukan diberi ganjaran, apartheid dinormalisasikan,” katanya.
Mapim mendakwa Trump meningkatkan perbelanjaan ketenteraan, memperluas pangkalan tentera global dan mengancam negara berdaulat, menjadikan perang sebagai industri menguntungkan.
Mohd. Azmi berkata, ketika AS melabel pihak lain sebagai penaja keganasan, dasar luar negara itu sebenarnya mempersenjatai militia ekstremis dan menggugat kestabilan rantau, sekali gus menyumbang kepada kebangkitan ISIS dan Daesh.
“Destabilisasi bukan kesan sampingan, tetapi kaedah,” tegasnya.
Mapim menegaskan isu ini bukan sekadar tentang Iran, tetapi tentang sistem global yang menggunakan tuduhan untuk menutup jenayah sendiri.
“Anda tidak boleh menyeru keamanan sambil mengeksport peperangan. Dunia tidak lagi tertipu. Kebenaran sedang bangkit dan kemunafikan sedang runtuh,” katanya. – DETIK MALAYSIA