SHAH ALAM – Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim (PMX) supaya memastikan ideologi Hindutva tidak diberi ruang untuk bertapak di Malaysia susulan lawatan rasmi Perdana Menteri India, Narendra Modi ke negara ini.
Presidennya, Mohd. Azmi Abdul Hamid berkata, Mapim memandang serius lawatan tersebut dan menegaskan bahawa hubungan diplomatik tidak boleh mengorbankan nilai Perlembagaan, keharmonian sosial serta komitmen Malaysia terhadap keadilan.
Menurut beliau, Narendra Modi bukan sekadar seorang pemimpin politik, tetapi figura utama dalam ekosistem politik yang berteraskan ideologi Hindutva yang didakwa telah menginstitusikan diskriminasi, menormalisasikan ucapan kebencian serta membenarkan keganasan terhadap minoriti agama di India, khususnya umat Islam.
“Ideologi Hindutva bukan doktrin spiritual, sebaliknya projek politik berteraskan supremasi yang cuba mentakrif semula kewarganegaraan berdasarkan identiti agama serta meminggirkan mereka yang tidak sehaluan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd. Azmi menyatakan kebimbangan bahawa ideologi tersebut boleh merebak melalui rangkaian diaspora, platform budaya, propaganda digital serta simbolisme politik, sekali gus menjejaskan keharmonian pelbagai agama di Malaysia.
“Malaysia mesti tegasdan tiada ruang untuk ekstremisme import, sama ada atas nama agama, bangsa atau nasionalisme,” katanya.
Mapim menegaskan bahawa kekuatan Malaysia terletak pada kepelbagaian, saling menghormati dan keadilan berperlembagaan.
“Ia bukan tentang India, tetapi tentang keselamatan moral dan sosial Malaysia. Kami menyeru PMX berdiri teguh mempertahankan keharmonian, keadilan dan perpaduan negara,” katanya. – DETIK MALAYSIA