NINH BINH – Johor Darul Ta’zim (JDT) mempamerkan semangat juara apabila bangkit untuk mengikat Nam Định FC 1-1 dalam aksi Kumpulan B Shopee Cup 2025/26 di Stadium Thiên Trường, malam tadi sekali gus mengesahkan tempat ke separuh akhir.
Perlawanan menyaksikan penjaga gol JDT, Andoni Zubiaurre tampil cemerlang dengan aksi bertaraf ‘Man of the Match’, terutama ketika berdepan tiga sepakan penalti sepanjang perlawanan.
Drama bermula pada minit ke-33 apabila Syahmi Safari menjatuhkan Caio Cesar di dalam kotak penalti. Zubiaurre berjaya menepis sepakan awal, namun bola muntah disambar Nguyen Van Vi untuk memberikan kelebihan 1-0 kepada tuan rumah.
Tekanan terus diberikan kepada JDT apabila pengadil menghadiahkan penalti kedua kepada Nam Định pada minit ke-51 selepas Hector Hevel didapati mengendalikan bola. Namun, Zubiaurre sekali lagi menjadi wira dengan menyelamatkan sepakan bekas pemain Brighton, Percy Tau.
Ketika pertahanan Nam Định dilihat semakin kukuh, JDT akhirnya memperoleh peluang penyamaan pada minit ke-85 apabila sepakan percuma Joao Figueiredo terkena tangan pemain lawan di dalam kotak penalti.
Penyerang berbisa JDT, Bergson da Silva tidak mensia-siakan peluang itu apabila menyempurnakan sepakan penalti dengan tenang, menjadikan ia gol keenamnya dalam kejohanan tersebut.
Keputusan seri itu menyaksikan JDT menamatkan saingan Kumpulan B sebagai naib juara dan mengesahkan tiket ke separuh akhir, selain menamatkan rekod kemenangan bersih Nam Định dalam peringkat kumpulan.
Pada aksi separuh akhir yang dijadual berlangsung pada Mei depan, JDT akan berdepan juara bertahan Buriram United dalam pertembungan dua perlawanan timbal balik. Dalam satu lagi aksi separuh akhir, Nam Định akan menentang wakil Malaysia, Selangor FC. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – JST