QINGDAO – Cabaran skuad badminton lelaki negara pada Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2026 berdepan tamparan apabila tewas tipis 2-3 kepada Indonesia dalam aksi terakhir Kumpulan D di Pusat Sukan Qingdao, semalam.
Kekalahan itu menyaksikan Malaysia menamatkan saingan sebagai naib juara Kumpulan D, namun masih mengesahkan tempat ke suku akhir bersama Indonesia selaku dua pasukan teratas kumpulan.
Malaysia memulakan perlawanan dengan cemerlang apabila mendahului 2-0. Perseorangan pertama negara, Justin Hoh (No.39 dunia) mempamerkan aksi tenang untuk menewaskan Moh Zaki Ubaidillah (No.38 dunia) 21-16, 21-19 sekali gus menghadiahkan mata pembukaan.
Gandingan beregu lelaki, Wan Arif Wan Junaidi dan Yap Roy King kemudian menggandakan kelebihan selepas menewaskan Leo Rolly Carnando–Bagas Maulana 21-13, 12-21, 21-13 dalam pertemuan pertama antara kedua-dua pasangan.
Namun, Indonesia bangkit melalui Prahdiska Bagas Shujiwo yang menundukkan Eogene Ewe 21-12, 14-21, 21-15 untuk merapatkan jurang 1-2.
Kebangkitan Indonesia diteruskan apabila gandingan Raymond Indra–Nikolaus Joaquin menewaskan Choong Hon Jian–Muhammad Haikal Nazri 21-16, 11-21, 19-21 sekali gus mengikat kedudukan 2-2. Ia merupakan kekalahan kedua berturut-turut pasangan Malaysia itu kepada beregu Indonesia berkenaan selepas tewas pada Terbuka Australia tahun lalu.
Penentuan terpaksa dibuat menerusi perseorangan terakhir yang menyaksikan pemain muda negara, Kong Wei Xiang, berdepan bekas No.2 dunia, Anthony Sinisuka Ginting.
Wei Xiang mengejutkan Ginting dengan memenangi set pertama 21-17, namun pemain Indonesia itu bangkit untuk mengambil set kedua 21-13. Pada set penentuan, pengalaman memihak kepada Ginting apabila beliau menutup perlawanan 21-16 bagi memastikan kemenangan 3-2 buat Indonesia.
Walaupun tewas, Malaysia dan Indonesia tetap mara ke suku akhir BATC 2026 sebagai dua pasukan terbaik Kumpulan D. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – Badminton Asia