PATHUM THANI – Pengendali Jepun, Masatada Ishii, akhirnya ‘dibebaskan’ daripada tugasnya sebagai ketua jurulatih BG Pathum United hari ini, hanya 98 hari selepas dilantik, susulan prestasi hambar pasukan itu dalam beberapa kejohanan utama.
Keputusan mengejut itu dibuat kurang 48 jam selepas BG Pathum tersingkir daripada Shopee Cup 2025/26, dengan keputusan seri 1–1 menentang Selangor FC di Stadium MBPJ menjadi titik pemisah buat pengurusan kelab.
Meskipun berkelebihan seorang pemain selama lebih 65 minit selepas Selangor beraksi dengan 10 orang, skuad kendalian Ishii gagal menjaringkan gol kemenangan yang diperlukan untuk mara ke separuh akhir. BG Pathum akhirnya menamatkan saingan di tangga ketiga Kumpulan A.
Ishii dilantik pada 30 Oktober 2025 dengan harapan tinggi selepas meninggalkan jawatannya bersama pasukan kebangsaan Thailand. Sepanjang 13 perlawanan bersama BG Pathum, beliau merekodkan tujuh kemenangan, tiga seri dan tiga kekalahan, statistik yang kelihatan baik di atas kertas, namun tidak cukup untuk menyelamatkan kedudukannya.
Di bawah kendaliannya, BG Pathum tersingkir daripada tiga kejohanan utama iaitu AFC Champions League Two, Chang FA Cup dan Shopee Cup.
Ketika ini, BG Pathum berada di tangga kelima Liga Thailand, ketinggalan 14 mata di belakang pendahulu, Buriram United. Harapan terakhir mereka untuk menjulang trofi pada 2026 hanyalah menerusi Muangthai Cup (Piala Liga), di mana mereka sudah mara ke suku akhir.
Pengurusan BG Pathum dijangka mengumumkan pengganti Ishii dalam masa terdekat bagi mengemudi cabaran baki musim ini. – DETIK MALAYSIA
Kredit Foto – BGPU