JOHOR BAHRU – Ketua jurulatih Johor Darul Ta’zim (JDT), Xisco Muñoz menzahirkan rasa bangga terhadap ketahanan mental anak buahnya selepas keputusan seri dramatik 1–1 menentang Nam Định FC yang mengesahkan slot ke separuh akhir Shopee Cup, semalam.
Dalam aksi penuh intensiti itu, skuad Harimau Selatan berdepan suasana sukar di tempat lawan selain perlawanan yang menyaksikan tiga keputusan penalti, namun tetap menunjukkan karakter sebuah pasukan besar untuk terus memburu kejuaraan serantau pada musim sulung mereka dalam kejohanan tersebut.
Bercakap pada sidang media selepas perlawanan, Muñoz mengakui pasukannya sudah menjangka ancaman transisi pantas Nam Định, namun situasi sebenar di atas padang jauh lebih mencabar.
“Kami sudah berbincang semalam tentang transisi bertahan dan bagaimana ia boleh menentukan perlawanan. Mereka hadir dengan dua transisi dan kedua-duanya menghasilkan penalti. Saya tidak ingat mereka benar-benar berbahaya melalui gerakan kombinasi, tetapi mereka sangat kuat dalam duel ofensif dan defensif,” katanya.
Muñoz turut menegaskan bahawa JDT sebenarnya bermula baik apabila menguasai 15 minit pertama perlawanan, namun gagal memanfaatkan peluang yang terhidang.
“Dalam 15 minit pertama, kami mempunyai dua atau tiga peluang penting untuk menjaringkan gol. Kami tidak menyempurnakannya dan selepas itu, corak permainan berubah kerana kami terpaksa terus menyerang untuk mendapatkan keputusan positif,” jelasnya.
Pengendali dari Sepanyol itu tidak lupa memuji penjaga gol JDT, Andoni Zubiaurre, yang mempamerkan aksi cemerlang termasuk menyelamatkan dua sepakan penalti, walaupun satu daripadanya disudahkan melalui bola muntah.
“Hari ini, penjaga gol kami sangat mengagumkan. Persembahannya menjadi asas kepada jaringan penyamaan Bérgson da Silva pada minit ke-85,” ujar Muñoz.
Dengan keputusan ini, JDT mara ke separuh akhir dan terus berada dalam landasan memburu kejuaraan Shopee Cup.
Kredit Foto – JST