KUALA LUMPUR – Perak FA melangkah selangkah lebih hampir ke separuh akhir MFL Challenge Cup 2025/26 selepas mencatat kemenangan tipis tetapi berharga 1–0 ke atas UM-Damansara di UM Arena, di sini sebentar tadi.
Jaringan tunggal Amirul Aiman pada babak kedua sudah memadai buat skuad ‘Bos Gaurus’ membawa pulang kelebihan penting di tempat lawan dalam aksi yang penuh taktikal.
Bermain di hadapan penyokong sendiri, UM-Damansara yang digelar ‘City Tigers’ memulakan perlawanan dengan garang, diketuai kapten Khair Jones dan diperkukuh kehadiran fizikal penyerang Thankgod Michael. Mereka beberapa kali menguji benteng Perak, namun penjaga gol Perak, Syazwan Syazany tampil cemerlang menafikan peluang tuan rumah.
Perak pula bergantung kepada kepantasan Ekene Victor dan Daniel Hakimi untuk melancarkan serangan balas, namun kedua-dua pasukan gagal memecah kebuntuan pada separuh masa pertama.
Bersambung babak kedua, Perak meningkatkan tempo permainan dan akhirnya menemui jaringan pada minit ke-56. Hantaran lintang tepat disambut Amirul Aiman yang melonjak tinggi sebelum menanduk kemas melepasi Haziq Mukriz untuk meletakkan Perak di hadapan.
UM-Damansara hampir menyamakan kedudukan pada minit ke-70 menerusi percubaan rendah Thankgod Michael, namun bola sekadar menyambar tepi tiang.
Benteng pertahanan Perak kekal disiplin sehingga wisel penamat, menutup ruang buat UM-Damansara untuk mencari gol penyamaan.
Kemenangan ini meletakkan Perak FA dalam kedudukan kukuh menjelang aksi seterusnya dalam saingan Challenge Cup. – DETIK MALAYSIA
Kredit Foto – Perak FA