KUALA LUMPUR – Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) menyifatkan penggantungan tugas tiga anggota pengurusan tertinggi Human Resource Development Corporation (HRD Corp) sebagai langkah yang wajar, namun dianggap terlalu lewat.
Presidennya, Jais Abdul Karim berkata, dana levi majikan yang dikutip HRD Corp merupakan dana amanah berkanun dan bukannya lebihan wang korporat, selain dipungut secara mandatori untuk tujuan khusus iaitu pembangunan latihan dan kemahiran tenaga kerja negara.
“Tindakan menyalurkan dana ini kepada aktiviti pelaburan di luar mandat asal merupakan pelanggaran serius terhadap amanah, kegagalan tadbir urus dan berpotensi melibatkan salah laku jenayah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau menegaskan, isu utama bukan sekadar apa yang berlaku, tetapi apa yang gagal dilakukan sebelum ini.
Menurutnya, kebimbangan mengenai penggunaan dana levi untuk pelaburan telah dibangkitkan secara terbuka sejak dua tahun lalu, termasuk melalui mekanisme pengawasan Parlimen, namun tiada tindakan pembetulan tegas dan berkesan dilihat sepanjang tempoh tersebut.
“MCW mempersoalkan apakah langkah konkrit yang telah diambil oleh kepimpinan terdahulu Kementerian dan HRD Corp untuk menghentikan, membetulkan atau mendedahkan kegagalan tadbir urus ini,” katanya.
Jais turut menyatakan kebimbangan bahawa tindakan tegas hanya mula diambil selepas Menteri baharu mengambil alih jawatan kira-kira dua bulan lalu dan disusuli pelantikan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) baharu minggu lalu.
Bagaimanapun, beliau memuji ketegasan menteri semasa serta CEO baharu yang menunjukkan kehendak politik dan ketegasan eksekutif yang jelas berbanding pentadbiran terdahulu.
Pada masa sama, MCW menegaskan bahawa penggantungan tugas secara pentadbiran tidak boleh menggantikan akauntabiliti sebenar.
Sehubungan itu, MCW menuntut satu siasatan forensik menyeluruh dijalankan bagi menentukan siapa yang meluluskan keputusan pelaburan dan atas asas undang-undang apa, sama ada kawalan dalaman diketepikan, kewujudan konflik kepentingan serta risiko kerugian terhadap dana levi.
“Akauntabiliti tidak boleh terhenti di peringkat pengurusan semata-mata, tetapi mesti merangkumi lembaga pengarah serta tadbir urus kementerian jika berkaitan,” katanya.
Beliau berkata, HRD Corp menguruskan berbilion ringgit dana levi majikan dan sebarang persepsi bahawa penyalahgunaan dana amanah awam hanya berakhir dengan penggantungan tugas tanpa tindakan penguatkuasaan akan menjejaskan keyakinan awam.
MCW turut menuntut pendedahan penuh hasil siasatan kepada umum, tindakan penguatkuasaan bebas jika wujud unsur jenayah, pembaharuan struktur institusi serta mekanisme pemulihan dana sekiranya berlaku kerugian.
“Kepercayaan terhadap institusi awam tidak dipulihkan melalui alasan masa — tetapi melalui kebenaran, penguatkuasaan dan akibat yang tegas,” tegasnya. – DETIK MALAYSIA