KUALA LUMPUR – Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman berjaya melumpuhkan sindiket pengedaran dadah tempatan dan antarabangsa bernilai kira-kira RM180 juta menerusi dua serbuan berasingan di sekitar Lembah Klang pada 31 Januari dan 2 Februari lalu.
Pengarah JSJN, Datuk Hussein Omar Khan berkata, operasi hasil maklumat risikan itu membawa kepada penahanan tiga individu iaitu seorang lelaki tempatan, seorang wanita tempatan dan seorang wanita warga asing berusia antara 38 hingga 58 tahun.
“Operasi ini adalah satu tamparan besar kepada rangkaian sindiket dadah yang aktif di dalam dan luar negara. JSJN akan terus memperhebatkan tindakan tanpa kompromi terhadap mana-mana pihak yang terbabit dalam kegiatan ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, serbuan pertama dilakukan di sebuah rumah teres di Kepong, Kuala Lumpur, yang dipercayai dijadikan lokasi penyimpanan dadah.
Pemeriksaan di premis berkenaan menemukan 30 bungkusan plastik dan 20 guni mengandungi serbuk disyaki dadah jenis MDMA seberat 843.8 kilogram; 1,080 ikatan aluminium foil berisi pil Erimin 5 (325.2 kilogram); 97 bungkusan plastik berisi pil ekstasi (104.3 kilogram); empat guni serbuk ketamin (97.7 kilogram) serta 14 bungkusan plastik disyaki mengandungi methamphetamine seberat 9.5 kilogram.
Serbuan kedua pula dijalankan di sebuah unit kondominium di Subang Jaya, Selangor yang membawa kepada penahanan seorang lagi wanita tempatan.
Hussein berkata, suspek lelaki dipercayai bertindak sebagai ketua sindiket yang mengatur gerak pengedaran dadah di dalam dan luar negara, manakala kedua-dua wanita yang ditahan merupakan kekasihnya serta berperanan sebagai ahli sindiket.
Dalam operasi sama, JSJN menyita empat kenderaan di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988 bernilai kira-kira RM118,800, membabitkan sebuah Honda Accord, dua Perodua Myvi dan sebuah Toyota Alphard.
“Sindiket ini menjadikan rumah sewa di sekitar Lembah Klang sebagai stor penyimpanan sebelum dadah diedarkan ke pasaran tempatan dan antarabangsa. Mereka dipercayai mula aktif sejak awal Januari 2026,” katanya.
Beliau menambah, jumlah dadah yang dirampas dianggarkan mampu merosakkan kira-kira 5.2 juta penagih.
Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup serta sebatan tidak kurang 12 kali jika sabit kesalahan.
“Suspek pertama dan kedua direman selama 12 hari bermula 31 Januari hingga 11 Februari bagi membantu siasatan, manakala ujian saringan awal air kencing mendapati suspek lelaki dan seorang wanita positif methamphetamine.
“Semakan rekod jenayah mendapati hanya suspek lelaki mempunyai satu rekod lampau berkaitan dadah,” katanya. – DETIK MALAYSIA