TANJUNG MALIM – Kira-kira dua tan durian menjadi tarikan utama Sambutan Hari Keluarga sempena Perhimpunan Bulanan Edisi Julai 2026 Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang berlangsung dalam suasana meriah pada 8 Julai lalu.
Program bertemakan “JIWA UPSI: Keluarga Teguh, Institusi Unggul” itu menghimpunkan warga universiti bersama ahli keluarga bagi mengukuhkan semangat kebersamaan serta mempererat hubungan silaturahim.
UPSI dalam satu kenyataan berkata, majlis itu disempurnakan oleh Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti, Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan yang turut menekankan kepentingan nilai kekeluargaan sebagai asas kepada kecemerlangan institusi.
Menurut kenyataan itu, sambutan kali ini lebih bermakna dengan penyediaan kira-kira dua tan durian selain pelbagai buah-buahan tempatan seperti manggis, cempedak, pisang dan rambutan untuk dikongsi bersama warga universiti.
“Semangat gotong-royong yang ditunjukkan oleh warga UPSI dalam membawa buah-buahan untuk dinikmati bersama mencerminkan budaya saling menghargai, berkongsi rezeki dan memperkukuh ukhuwah dalam kalangan warga kampus,” menurut kenyataan itu.

Pada majlis sama, UPSI turut melancarkan video warisan korporat “Lensa Evolusi: Ibu Kandung Suluh Budiman” yang mengangkat legasi dan sejarah lebih satu abad universiti berkenaan.
Kenyataan itu turut memaklumkan pelbagai aktiviti diadakan bagi memeriahkan sambutan termasuk senamtari, Pertandingan Koyak Durian, Pertandingan Makan Buah-Buahan Terpantas, Pertandingan Teka Berat Buah, pertandingan e-Sukan dan Pertandingan Memasak Cekodok Pisang.
“Semoga semangat JIWA UPSI terus menjadi pemangkin dalam memperkukuh budaya kerja cemerlang, mempererat silaturahim dan memacu UPSI sebagai sebuah institusi pendidikan unggul,” menurut kenyataan itu. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – UPSI
