KUALA LUMPUR – Pelaksanaan proses pelupusan barangan kes secara telus dan teratur oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM), khususnya Kontinjen Pulau Pinang, disifatkan sebagai bukti komitmen pasukan itu dalam memelihara integriti pengurusan bahan bukti.
Persatuan Pegawai Kanan Polis Bersara Malaysia (RESPA) berkata, pelupusan barangan kes bukan sekadar prosedur pentadbiran, malah menjadi komponen penting dalam sistem keadilan jenayah yang mencerminkan integriti, akauntabiliti dan tadbir urus yang baik.
Presidennya, Datuk Meor Chek Hussien Mahayudin berkata, setiap barang kes yang dirampas perlu melalui rantaian kawalan yang ketat bermula daripada proses rampasan, penyimpanan dan dokumentasi sebelum dilupuskan mengikut peruntukan undang-undang.
“Pelaksanaan pelupusan secara terbuka dan teratur memberi mesej jelas bahawa PDRM sentiasa memastikan barang rampasan tidak disalah guna, hilang, dimanipulasi atau kembali semula kepada aktiviti jenayah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, RESPA yang dianggotai bekas pegawai kanan polis memahami cabaran pengurusan barang kes di seluruh negara, termasuk isu ruang penyimpanan, keselamatan, rekod dokumentasi serta pematuhan prosedur operasi standard (SOP).
Beliau berkata, usaha pendigitalan sistem pengurusan barang kes perlu terus diperkasakan melalui penggunaan teknologi seperti sistem inventori digital, kod pengesanan dan audit berkala bagi meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap proses penguatkuasaan.
Katanya, RESPA turut merakamkan penghargaan kepada pegawai dan anggota PDRM yang melaksanakan amanah itu dengan penuh disiplin kerana integriti dalam pengurusan barang kes memberi impak besar kepada kredibiliti keseluruhan sistem keadilan. – KOSMO! ONLINE
Kredit foto – JANAAN AI
