HOHENSTEIN-ERNSTTHAL, Jerman – Pelumba muda negara, Hakim Danish Ramli meneruskan aksi cemerlang apabila mengesahkan slot automatik ke sesi Kelayakan 2 (Q2) Moto3 Grand Prix (GP) Jerman di Litar Sachsenring selepas menamatkan sesi latihan di kedudukan ketujuh, hari ini.
Pelumba AEON Credit-MT Helmets-MSi berusia 18 tahun itu pantas menyesuaikan diri di litar Sachsenring biarpun buat kali pertama berlumba di venue yang terkenal sebagai antara litar paling mencabar dalam kalendar Kejuaraan Dunia MotoGP.
Pada sesi Latihan Bebas 1 (FP1), Hakim mencatat masa terpantas 1 minit 26.295 saat (s) untuk menduduki tangga ketujuh, hanya 0.299s di belakang pendahulu sesi.
Aksi lebih meyakinkan dipamerkan pada sesi latihan rasmi (Practice) apabila dia memperbaiki catatan kepada 1:25.975s dan sekali lagi menamatkan saingan di kedudukan ketujuh.
Catatan itu menyaksikan Hakim hanya 0.127s di belakang pelumba terpantas sekali gus melayakkannya secara terus ke Q2 tanpa perlu mengharungi Q1.
Pelumba Honda Team Asia dari Indonesia, Veda Pratama muncul terpantas dengan catatan 1:25.848s.
Hakim hadir ke GP Jerman dengan keyakinan tinggi selepas meraih kemenangan sulung di GP Republik Czech, selain mengutip mata di GP Belanda yang melonjakkannya ke kelompok enam terbaik kedudukan keseluruhan Moto3.
Esok, pelumba negara itu akan mengharungi sesi Latihan Bebas 2 (FP2) sebelum memberi tumpuan sepenuhnya kepada sesi Q2 bagi memburu kedudukan terbaik di petak permulaan menjelang perlumbaan GP Jerman, Ahad ini. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – ZK Racing
