KUALA LUMPUR – Sebanyak 12 kelab disahkan bakal bersaing dalam saingan Liga Super musim 2026/2027 yang dijadual membuka tirai pada 21 Ogos depan.
Malaysian Football League (MFL) memaklumkan, juara bertahan Johor Darul Ta’zim (JDT), Kuching City FC, Selangor FC, Kuala Lumpur City FC, Terengganu FC, Star City FC, Negeri Sembilan FC, Penang FC, Sabah FC, DPMM FC dan Melaka FC telah mengesahkan penyertaan.
Bagaimanapun, satu lagi slot masih belum dimuktamadkan apabila status PDRM FC hanya akan diputuskan oleh badan bebas First Instance Body (FIB) pada 16 Julai ini.
MFL memaklumkan, PDRM FC diberikan lesen berserta sekatan dengan tempoh pematuhan sehingga 15 Julai bagi mengemukakan maklumat tambahan untuk memenuhi Kriteria Kewangan dan Kriteria Infrastruktur.
“Keputusan FIB ke atas status PDRM FC juga akan diambil pertimbangan oleh Ahli Lembaga Pengarah MFL yang akan melihat secara menyeluruh tahap kesediaan dan kelangsungan kelab itu untuk menguruskan operasi sepanjang musim 2026/2027,” menurut kenyataan MFL hari ini.
Menurut MFL, sekiranya PDRM FC gagal memenuhi syarat berkenaan, slot terakhir Liga Super akan diberikan kepada Kelantan Red Warrior FC yang menamatkan saingan Liga A1 Semi-Pro musim lalu di tangga keempat.
Katanya, Kelantan Red Warrior FC telah melengkapkan segala dokumen berkaitan kriteria kewangan dan dilihat lebih bersedia berbanding UM Damansara United FC serta Bunga Raya FC yang turut memohon menyertai Liga Super.
MFL menjelaskan penyertaan 12 pasukan diyakini mampu memberi impak positif kepada ekosistem liga kerana hanya kelab yang memenuhi syarat pelesenan, kewangan dan infrastruktur dibenarkan bertanding.
“Pengurangan bilangan pasukan mengurangkan risiko penyertaan kelab yang tidak bersedia dari segi kewangan dan selari dengan pelaksanaan Financial Fair Play (FFP) yang memberi fokus kepada pengurusan kewangan berhemah, pembayaran gaji yang konsisten serta kelangsungan operasi kelab,” katanya.
Saingan Liga Malaysia musim 2026/2027 akan bermula dengan Perlawanan Sumbangsih merebut Piala Sultan Haji Ahmad Shah membabitkan JDT dan Kuching City FC di Stadium Sultan Ibrahim pada 21 Ogos.
Piala FA dijadual berlangsung dari 1 September 2026 hingga 16 Januari 2027, manakala Piala Malaysia bermula pada 22 Januari 2027 sebelum berakhir dengan aksi final pada 30 Mei 2027.
Sementara itu, MFL Challenge Cup akan membuka tirainya pada 10 Februari 2027 dengan final dua pusingan dijadual berlangsung pada 11 dan 18 April 2027. – DETIK MALAYSIA
