50 perlawanan keseluruhan menjadi taruhan kejuaraan NRDP-MSST Terengganu Rugby 7s 2026 bermula pada 10 - 11 Julai 2026 bertempat di Stadium Ragbi Tengku Muhammad Ismail, Kompleks Sukan Negeri Terengganu.
KUALA NERUS – Sukan ragbi sekolah di Terengganu terus menunjukkan perkembangan positif apabila Kejuaraan NRDP-MSST Terengganu Rugby 7s 2026 merekodkan penyertaan tertinggi dalam sejarah penganjurannya.
Sebanyak 20 pasukan sekolah membabitkan 240 pemain dari tujuh daerah berentap selama dua hari di Stadium Ragbi Tengku Muhammad Ismail, Kompleks Sukan Negeri Terengganu dalam kejohanan yang turut disertai beberapa pasukan baharu.
Penyertaan tersebut menjadi petunjuk jelas bahawa usaha pembangunan ragbi di peringkat akar umbi semakin mendapat sambutan, khususnya dalam kalangan sekolah yang mula membangunkan program ragbi masing-masing.
Pengerusi Teknik Pembangunan Sukan Ragbi MSST, Aminudin Sulong berkata, format lebih inklusif yang diperkenalkan tahun ini membuka ruang kepada lebih ramai pemain muda, termasuk dari kawasan luar bandar, untuk beraksi di pentas kompetitif.
“Ada pasukan yang hadir semata-mata untuk mendapatkan pendedahan dan minit permainan. Pengalaman seperti ini penting dalam proses pembangunan pemain pada usia muda,” katanya.
Beliau berkata, sinergi antara NRDP, Malaysia Rugby, MSN dan KPM turut memainkan peranan penting dalam memperkasa pembangunan ragbi di Terengganu dan negeri-negeri Pantai Timur.
Sejak diperkenalkan pada 2016, NRDP kekal sebagai program pembangunan utama negara bagi melahirkan pemain ragbi elit berusia 13 hingga 17 tahun sebagai pelapis skuad kebangsaan pada masa hadapan. – DETIK MALAYSIA
