INGLEWOOD, California – Mikel Merino sekali lagi membuktikan sentuhan emasnya apabila muncul wira Sepanyol menerusi jaringan lewat permainan untuk membantu juara Eropah itu menewaskan Belgium 2-1 pada aksi suku akhir Piala Dunia, awal pagi tadi.
Merino menyempurnakan peluang pada minit-minit akhir selepas penjaga gol gantian Belgium, Senne Lammens, gagal menangkap kemas rembatan jarak jauh Pau Cubarsi sebelum pemain tengah itu merembat bola ke bahagian bumbung gawang.
Kemenangan tersebut membawa Sepanyol ke separuh akhir Piala Dunia buat kali kedua selain melanjutkan rekod tanpa kalah kepada 36 perlawanan, hanya satu lagi untuk menyamai rekod sepanjang zaman milik Itali.
Pada aksi di Stadium Los Angeles itu, pengendali Sepanyol, Luis de la Fuente membuat pertukaran penting apabila menurunkan Fabián Ruiz menggantikan Pedri dalam kesebelasan utama dan keputusan itu membuahkan hasil.
Ruiz meletakkan Sepanyol di hadapan pada minit ke-29 selepas menyudahkan bola muntah hasil percubaan Dani Olmo yang ditepis penjaga gol Belgium, Thibaut Courtois.
Gol itu berpunca daripada gerakan menarik di sebelah kanan yang dimulakan Lamine Yamal sebelum Pedro Porro melakukan hantaran lintang kepada Olmo.
Yamal turut mencipta rekod tersendiri apabila menjadi pemain berusia 18 tahun dan ke bawah dengan penampilan terbanyak di Piala Dunia, iaitu enam perlawanan.
Belgium bagaimanapun menyamakan kedudukan sebelum rehat apabila Charles De Ketelaere menanduk masuk hantaran tepat Timothy Castagne untuk menewaskan Unai Simón.
Jaringan itu menamatkan rekod tanpa bolos Sepanyol selama 650 minit di Piala Dunia yang bermula sejak edisi 2022 di Qatar.
Belgium menerima tamparan besar pada minit ke-71 apabila Courtois terpaksa dikeluarkan akibat kecederaan selepas menerima rawatan di atas padang.
Kemasukan Lammens akhirnya mengundang padah apabila kesilapannya menepis rembatan Cubarsi membuka ruang kepada Merino menjaringkan gol kemenangan.
Belgium turut berdepan masalah sebelum sepak mula apabila kapten pasukan, Youri Tielemans, terpaksa digugurkan daripada kesebelasan utama akibat kecederaan ketika sesi memanaskan badan.
Sepanyol kini akan membuat perhitungan dengan Perancis pada aksi separuh akhir, Selasa ini. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – Getty Images
