KOTA BHARU – Kelantan Red Warrior FC (KRW FC) yakin Malaysian Football League (MFL) akan membuat keputusan yang adil, telus dan bijaksana berhubung penyertaan kelab itu dalam saingan Liga Super musim 2026/2027.
Presidennya, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, pihaknya menghormati sepenuhnya peranan MFL sebagai badan pengelola liga profesional negara dan percaya sebarang keputusan yang dibuat adalah demi kepentingan bola sepak Malaysia.
Menurut beliau, KRW FC tidak mahu memberi tekanan kepada MFL, sebaliknya bersedia menerima apa juga keputusan yang diputuskan.
“Kami menerima kenyataan MFL dengan penuh rasa hormat, positif dan terbuka. Kami percaya MFL akan membuat keputusan yang tepat, adil dan bijaksana demi masa depan bola sepak negara,” katanya.
Muhamad Zaki berkata, sekiranya KRW FC diberikan tempat dalam Liga Super, ia bukan sesuatu yang mengejutkan kerana kelab itu telah membuktikan kemampuan di atas padang.
Katanya, pencapaian dalam saingan Liga A1 Semi-Pro menjadi bukti usaha gigih pengurusan, barisan pemain dan kakitangan yang berkorban demi merealisasikan impian beraksi di liga tertinggi negara.
“Jika kami diberi kepercayaan beraksi di Liga Super, ia adalah hasil pencapaian berdasarkan merit dan prestasi di atas padang,” ujarnya.
Beliau turut menyifatkan hasrat kembali ke Liga Super bukan sekadar impian pengurusan dan pemain, malah menjadi harapan ribuan penyokong setia serta rakyat Kelantan yang terus berdiri teguh di belakang pasukan.
Muhamad Zaki mengakui perjalanan KRW FC bukan mudah apabila pengurusan baharu terpaksa membina semula kelab selepas mewarisi pelbagai masalah yang ditinggalkan pentadbiran terdahulu.
“Kami terpaksa membersihkan legasi yang ditinggalkan walaupun ia bukan berpunca daripada kami. Namun, kami memilih untuk bangkit dan mengembalikan maruah bola sepak Kelantan,” katanya.
Beliau turut menggesa penyokong terus bersatu serta mendoakan agar keputusan yang bakal diumumkan MFL memihak kepada KRW FC.
“Kami berharap penyokong terus bersama kami dan bersedia memenuhi stadium bersejarah Kelantan sekiranya pasukan kembali beraksi di Liga Super,” katanya. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – KRW FC
