BAGAN DATUK – Lebih 500 peserta membanjiri Kompleks Pelancongan Bagan Datuk di sini bagi memeriahkan Retro Dash Fun Run Peringkat Negeri 2026 yang berlangsung dalam suasana penuh warna-warni hari ini.
Program anjuran bersama Kelab Sukan, Kebajikan dan Rekreasi Pejabat Kesihatan Pergigian Daerah Hilir Perak serta Minggu Promosi Kesihatan Pergigian 2026 itu dilepaskan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rungkup, Datuk Shahrul Zaman Yahya kira-kira pukul 7.40 pagi.
Acara larian sejauh lima kilometer dengan tempoh masa satu jam 30 minit itu bermula di Dewan Dato’ Lope Hashim sebelum peserta melalui laluan yang ditetapkan di sekitar kawasan Kompleks Pelancongan Bagan Datuk.
Selain larian, orang ramai turut teruja menyaksikan pelbagai pengisian menarik termasuk senamrobik, persembahan Kawad Senyap Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) serta persembahan Pancaragam TLDM dari Lumut yang mencuri tumpuan pengunjung.

Suasana program bertambah meriah apabila peserta daripada pelbagai lapisan masyarakat hadir bersama keluarga dengan mengenakan pakaian bertemakan retro.
Salah seorang peserta, Mohd Fahmi Ismail, 40, berkata, program itu bukan sahaja menyeronokkan malah menjadi platform untuk meluangkan masa berkualiti bersama keluarga.
“Seronok sertai fun run ini. Suasananya santai, meriah dan dapat beriadah bersama keluarga,” katanya.
Sementara itu, isterinya, Neng Istiqomah Daim, 41, berkata, program seumpama itu mampu menggalakkan masyarakat mengamalkan gaya hidup sihat.
“Kalau ikutkan ada lagi tiga orang anak kami yang mahu turut serta, namun pada saat akhir mereka terlibat dengan program sekolah.
“Saya harap program seperti ini diteruskan lagi pada edisi akan datang kerana ia memberi manfaat kepada masyarakat,” katanya. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – AL AZWAR
