DALLAS – Ghana memulakan kempen Piala Dunia 2026 dengan langkah kanan apabila menewaskan Panama 1-0 menerusi jaringan dramatik pada masa kecederaan dalam aksi Kumpulan L di Stadium AT&T awal pagi tadi.
Walaupun banyak bertahan sepanjang perlawanan, skuad Black Stars mempamerkan semangat juang tinggi sebelum Caleb Yirenkyi muncul wira dengan meledak gol kemenangan pada minit ke-90+5.
Panama yang lebih menguasai permainan hampir membuka tirai jaringan seawal minit kedua menerusi Cecilio Waterman, namun percubaannya berjaya diselamatkan penjaga gol Ghana, Lawrence Ati-Zigi.
Wakil Amerika Tengah itu terus mendominasi dengan menguasai 64 peratus penguasaan bola pada babak pertama, tetapi gagal memecahkan benteng pertahanan Ghana.
Selepas rehat, Ghana melakukan beberapa pertukaran termasuk memasukkan Brandon Thomas-Asante dan Abdul Fatawu Issahaku bagi menghidupkan jentera serangan.
Peluang terbaik Ghana hadir pada minit ke-73 apabila tandukan Jonas Adjetey hasil sepakan percuma sekadar melewati palang gol.
Panama hampir mencuri kemenangan lima minit sebelum tamat permainan menerusi Ismael Díaz, namun penjaga gol gantian Ghana, Benjamin Asare melakukan aksi cemerlang untuk menafikan percubaannya.
Ketika perlawanan dilihat berakhir tanpa jaringan, Ghana melancarkan serangan terakhir pada masa kecederaan sebelum Yirenkyi tenang menyudahkannya untuk menghadiahkan tiga mata berharga buat pasukannya.
“Kami tidak pernah berputus asa dan percaya peluang akan tiba. Gol ini sangat bermakna untuk pasukan,” kata Yirenkyi.
Kemenangan itu menyaksikan Ghana mengumpul tiga mata, sekali gus menyamai pungutan England yang menewaskan Croatia 4-2 dalam satu lagi aksi Kumpulan L.
Ghana akan berdepan England pada 23 Jun, manakala Panama dijadual menentang Croatia dalam usaha menghidupkan peluang ke pusingan kalah mati. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – Ghana FA