MOTEGI, Jepun – Pelumba JDT Racing Team, Hafizh Syahrin Abdullah meneruskan penguasaan dalam Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) 2026 apabila meraih kemenangan kelima berturut-turut selepas menjuarai Perlumbaan 1 kategori Asia Superbike 1000 (ASB1000) di Mobility Resort Motegi, Tochigi hari ini.
Bekas pelumba MotoGP itu mempamerkan tunggangan matang dan penuh berpengalaman apabila bangkit daripada permulaan yang kurang sempurna sebelum menamatkan perlumbaan 10 pusingan dengan bergaya di atas jentera Ducati Panigale V4R.
Bermula dari petak utama, Hafizh bagaimanapun terlepas peluang untuk mengekalkan kedudukan di hadapan apabila dipintas pelumba tuan rumah, Keito Abe pada awal perlumbaan sehingga tercicir ke tempat ketiga.
Namun, pelumba berusia 31 tahun itu tidak mengambil masa lama untuk kembali menguasai perlumbaan apabila berjaya memintas Abe dalam beberapa pusingan awal sebelum terus meninggalkan pencabar lain.
Sebaik mendahului perlumbaan, Hafizh meningkatkan rentak secara konsisten dan mula membuka jurang selesa melebihi tiga saat menjelang pertengahan perlumbaan.
Keupayaannya mengurus tayar serta mengekalkan catatan masa pantas membolehkan beliau mengawal perlumbaan sehingga ke garisan penamat.
Hafizh akhirnya muncul juara dengan kelebihan 4.468 saat mengatasi Abe yang mewakili SDG HARC-PRO Honda Philippines di tempat kedua.
Lebih manis, anak kelahiran Selangor itu turut mencatat masa terpantas perlumbaan menerusi catatan 1 minit 49.297 saat, sekali gus membuktikan penguasaannya di litar ikonik Motegi.
Turut menyerlah buat JDT Racing Team ialah pelumba Indonesia, Andi Farid Izdihar yang menamatkan perlumbaan di kedudukan kelima untuk perlumbaan kedua berturut-turut musim ini.
Andi menampilkan aksi konsisten sepanjang perlumbaan untuk menamatkan saingan 10.935 saat di belakang Hafizh sekali gus mengutip mata berharga dalam perebutan kejuaraan.
Sementara itu, dua wakil IDEMITSU Honda Racing Malaysia, Zaqhwan Zaidi dan Azroy Anuar turut berjaya menamatkan perlumbaan.
Bekas juara ASB1000, Zaqhwan menamatkan saingan di tempat ketujuh selepas bersaing dalam kelompok 10 terbaik sepanjang perlumbaan, manakala Azroy menamatkan perlumbaan di kedudukan ke-13.
Keputusan itu mengukuhkan lagi status Hafizh sebagai pelumba paling menyerlah dalam kategori utama ASB1000 musim ini selepas menukar prestasi cemerlang sejak sesi latihan dan kelayakan kepada kemenangan penuh bermakna.
Dengan Perlumbaan 2 masih berbaki di Motegi esok, Hafizh kini berada pada landasan terbaik untuk melengkapkan hujung minggu sempurna sekali gus mengukuhkan kedudukannya dalam perebutan gelaran juara ARRC 2026. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – ARRC