KUALA LUMPUR – Pelumba Moto3 negara, Hakim Danish menganggap perlumbaan Grand Prix (GP) Belanda di Litar TT Assen sebagai antara perlumbaan paling mencabar musim ini selepas menamatkan saingan di tempat ketujuh.
Pelumba AEON Credit-MT Helmets-MSi itu memulakan perlumbaan dari petak ke-16 sebelum memintas ramai pencabar dan menamatkan perlumbaan di kedudukan ketujuh selepas tiga pelumba di hadapannya dikenakan penalti.
Keputusan tersebut membolehkannya mengumpul 82 mata selepas 10 pusingan sekali gus mengukuhkan kedudukan keenam keseluruhan dalam carta Kejuaraan Dunia Moto3.
Hakim berkata, dia terpaksa memerah segala kudrat sepanjang perlumbaan bagi mengekalkan saingan dalam kelompok hadapan.
“Saya berjaya menamatkan perlumbaan di tempat ketujuh. Ia perlumbaan yang sangat mencabar kerana saya perlu menunggang pada tahap maksimum dalam setiap pusingan sehingga ke garisan penamat,” katanya.
Menurut pelumba berusia 18 tahun itu, dia melakukan permulaan yang baik sebelum berjaya memintas seorang demi seorang pelumba untuk menyertai kelompok hadapan.
“Saya membuat permulaan yang baik dan cuba memintas pelumba lain untuk berada dalam kelompok hadapan,” ujarnya.
Hakim turut cuba mengejar pendahulu perlumbaan, Maximo Quiles dan David Almansa, namun mengakui kedua-dua pelumba itu memiliki rentak yang lebih pantas.
“Saya cuba mengejar Maximo Quiles dan David Almansa, tetapi mereka mempunyai kelajuan yang lebih baik daripada saya,” katanya.
Bagaimanapun, impiannya untuk memburu podium tidak kesampaian apabila tayar belakang jenteranya mula mengalami kemerosotan prestasi pada lima pusingan terakhir.
“Dalam lima pusingan terakhir, saya mula menghadapi masalah dengan tayar belakang. Saya cuba mempertahankan kedudukan dan terus bersaing untuk podium, tetapi malangnya tidak berjaya,” katanya.
Meskipun sedikit kecewa terlepas peluang meraih keputusan terbaik dalam karier Moto3, Hakim tetap berpuas hati dengan peningkatan yang dipamerkan.
Katanya, setiap perlumbaan memberikan pengalaman berharga untuk memperbaiki kelemahan sebelum menghadapi perlumbaan seterusnya di Sachsenring.
“Saya akan jadikan perlumbaan ini sebagai satu lagi pengalaman untuk memperbaiki kelemahan saya. Saya mahu membawa segala yang dipelajari hari ini ke perlumbaan seterusnya.
“Secara keseluruhan saya gembira dengan prestasi hari ini dan tidak sabar untuk berlumba di Sachsenring,” katanya.
Hakim turut merakamkan penghargaan kepada semua penaja, pasukan, keluarga dan penyokong yang terus memberikan kepercayaan kepadanya sepanjang musim ini.
“Saya akan terus bekerja keras, memberikan yang terbaik dalam setiap perlumbaan dan melakukan apa sahaja untuk mengharumkan nama Malaysia di pentas antarabangsa,” katanya. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – ZK Racing