KUALA TERENGGANU – Penantian penyokong Terengganu FC akhirnya berakhir apabila kelab itu secara rasmi mengumumkan pelantikan semula Nafuzi Zain sebagai ketua jurulatih bagi menghadapi saingan Liga Malaysia musim 2026/27.
Jurulatih berusia 47 tahun itu menandatangani kontrak selama dua tahun yang akan menyaksikannya membimbing skuad Penyu sehingga Mei 2028.
Kepulangan Nafuzi dilihat membuka lembaran baharu buat Terengganu yang sedang menjalani proses pembinaan semula pasukan dengan sasaran kembali menjadi pencabar utama dalam kancah bola sepak tempatan.
Nafuzi bukanlah nama asing buat penyokong Terengganu selepas pernah mengendalikan pasukan itu dari 2019 hingga 2022.
Sepanjang tempoh tersebut, beliau berjaya mengangkat prestasi Terengganu apabila menamatkan saingan Liga Super di tempat ketiga pada musim 2020 sebelum muncul naib juara Liga Super dan mara ke pentas final Piala FA pada 2022.
Corak permainan menyerang serta keupayaannya memaksimumkan potensi pemain turut menjadikan beliau antara jurulatih paling disenangi penyokong Penyu.
Menurut Terengganu FC, pengalaman luas Nafuzi dalam kancah bola sepak Malaysia, selain pemahamannya terhadap budaya bola sepak negeri itu dan hubungan erat dengan penyokong, menjadi faktor utama beliau dipilih untuk mengetuai projek baharu kelab.
Sebagai persiapan menghadapi musim baharu, Nafuzi kini sedang bekerjasama rapat dengan Jawatankuasa Teknikal dan Pemilihan Terengganu FC bagi mengenal pasti pemain tempatan serta import yang menepati falsafah permainannya.
Kelab itu juga sedang membentuk skuad seimbang menerusi gabungan pemain berpengalaman dan muka baharu bagi memastikan Terengganu mampu memberi saingan dalam semua pertandingan domestik.
Pelantikan semula Nafuzi turut mencerminkan kesungguhan Terengganu untuk membina sebuah pasukan yang lebih kompetitif, berdisiplin dan mampu kembali berada dalam kelompok elit bola sepak Malaysia. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – TFC