GOIÂNIA – Pelumba muda sensasi negara, Hakim Danish akhirnya membuka akaun mata sulung dalam saingan Moto3 musim 2026 selepas menamatkan perlumbaan di tempat ke-10 (P10) pada Grand Prix Brazil yang berlangsung penuh dramatik di Litar Autódromo Internacional de Goiânia – Ayrton Senna, semalam.
Aksi bersama pasukan AEON Credit – MT Helmets – MSi itu menyaksikan Hakim mempamerkan kematangan luar biasa apabila berjaya mengutip enam mata penting dalam perlumbaan pusingan kedua yang berlangsung dalam keadaan penuh tekanan.
Lebih membanggakan, pelumba negara itu terlebih dahulu mencuri tumpuan apabila mencatat permulaan barisan hadapan (Grid 3) buat kali pertama dalam karier Moto3 selepas sesi kelayakan yang cukup cemerlang.
Namun, perlumbaan sebenar tidak semudah disangka apabila Hakim sedikit terlepas rentak sejurus lampu hijau dipadamkan, sekali gus menyaksikan dia terpaksa berjuang semula untuk kembali ke kelompok hadapan.
Tidak mudah mengalah, anak muda itu menunjukkan semangat juang tinggi apabila berjaya merapatkan kedudukan dan kembali bersaing dalam kelompok utama, sekali gus menghidupkan peluang memburu podium sulung.
Perlumbaan bertukar huru-hara pada pusingan ke-15 selepas kemalangan membabitkan pelumba Britain, Scott Ogden memaksa bendera merah dikibarkan.
Situasi itu menyaksikan perlumbaan disambung semula dalam format pecutan lima pusingan, dengan kedudukan grid ditentukan berdasarkan keputusan pusingan ke-14. Hakim yang diletakkan di Grid 9 sekali lagi berdepan cabaran sengit di kelompok tengah.
Dalam perlumbaan singkat yang penuh agresif, Hakim kekal tenang dan bijak mengawal tekanan apabila bertarung rapat dengan pelumba elit dunia sebelum melintasi garisan penamat di kedudukan ke-10.
Perlumbaan tersebut dimenangi pelumba Sepanyol, Maximo Quiles dari pasukan CFMOTO Gaviota Aspar Team dengan catatan masa 7 minit 19.821 saat.
Tempat kedua menjadi milik rakan sepasukan, Marco Morelli diikuti pelumba Indonesia, Veda Pratama yang mencipta sejarah sebagai pelumba negaranya pertama menaiki podium Grand Prix di tempat ketiga.
Keputusan ini jelas menjadi titik kebangkitan buat Hakim selepas terlepas peluang mengutip mata pada pusingan pembukaan di Thailand sebelum ini.
Selain meraih mata sulung, pengalaman berdepan situasi perlumbaan semula, tekanan kelajuan tinggi serta persaingan sengit dalam kelompok padat dijangka menjadi bekalan penting buat pelumba itu untuk mengharungi baki musim.
“Ini baru permulaan. Hakim sudah buktikan dia mampu bersaing di pentas dunia,” kata seorang pegawai pasukan. – DETIK MALAYSIA
Kredit Foto – ZK Racing