KUALA LUMPUR – Dakwaan bekas Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump bahawa keupayaan ketenteraan Iran telah “dihapuskan sepenuhnya” kini semakin dipersoalkan apabila bercanggah dengan perkembangan sebenar di lapangan.
Menurut Presiden MAPIM, Mohd Azmi Abdul Hamid, peperangan moden tidak lagi terhad kepada medan tempur semata-mata, sebaliknya turut berlangsung dalam bentuk naratif media, operasi psikologi dan mesej diplomatik yang dirancang secara strategik.
“Perang hari ini bukan sekadar di medan tempur, tetapi turut berlaku dalam media, psikologi dan diplomasi,” katanya.
Beliau menjelaskan bahawa kenyataan Trump yang mendakwa “semuanya sudah tiada” di Iran dilihat sebagai satu naratif yang dibina bagi menggambarkan kemenangan mutlak, sekali gus bertujuan menonjolkan kekuatan, membentuk persepsi global dan mempengaruhi sokongan politik dalam negara.
Tambahnya, apabila naratif tersebut dibandingkan dengan fakta semasa, ia mula menunjukkan percanggahan yang ketara dan membuka ruang kepada persoalan mengenai kesahihannya.
Menurut Mohd Azmi, kenyataan berkenaan juga mempunyai tujuan tertentu termasuk untuk mengukuhkan legitimasi domestik di Amerika Syarikat, memberi tekanan psikologi kepada Iran serta membentuk kedudukan diplomatik dengan menggambarkan Iran sebagai pihak yang telah tewas dan tidak lagi mempunyai kuasa rundingan.
“Dakwaan melampau seperti ini selalunya menunjukkan keterdesakan strategi, bukannya menandakan konflik telah berakhir,” katanya lagi.
Dalam masa sama, beliau menegaskan bahawa realiti di lapangan menunjukkan Iran masih mempunyai keupayaan operasi yang berfungsi dan berterusan dalam pelbagai bentuk.
Katanya, serangan menggunakan peluru berpandu dan dron masih dilaporkan berlaku, selain kepentingan ketenteraan Amerika Syarikat terus menjadi sasaran di beberapa lokasi strategik.
Selain itu, Iran juga dilihat mengekalkan daya tahan operasi di pelbagai medan serta berupaya mengganggu laluan maritim penting termasuk di Selat Hormuz, yang kekal menjadi titik kritikal dalam geopolitik serantau.
“Pemusnahan aset konvensional tidak bermaksud keupayaan perang sesuatu negara telah lumpuh sepenuhnya,” tegas beliau.
Beliau berpandangan bahawa konflik yang sedang berlangsung kini telah memasuki fasa baharu, di mana pengurusan persepsi digunakan secara meluas bagi menutup ketidaktentuan strategi serta batas sebenar dominasi ketenteraan.
“Ini bukan penamat peperangan, sebaliknya permulaan kepada fasa konflik yang lebih kompleks dan berpanjangan,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menggesa orang ramai agar menilai setiap kenyataan politik dengan lebih kritikal serta tidak mudah terpengaruh dengan naratif yang tidak selari dengan realiti sebenar di lapangan. – DETIK MALAYSIA