SHAH ALAM – Jabatan Imigresen (JIM) Negeri Selangor menahan seramai 95 warga asing yang disyaki melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 menerusi Operasi Penguatkuasaan Bersepadu di sekitar Klang dan Alam Megah, semalam.
Operasi yang dijalankan dengan kerjasama Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) serta Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) itu bermula pada pukul 11.30 pagi di Klang sebelum diteruskan pada pukul 3.50 petang di Alam Megah.
Di sekitar Klang, seramai 1,143 individu diperiksa melibatkan pelbagai premis perniagaan yang dipercayai menggaji atau dikendalikan oleh warga asing.
Hasil pemeriksaan mendapati seramai 73 warga asing ditahan kerana disyaki melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63.
Dalam operasi berasingan di Alam Megah pula, seramai 111 individu diperiksa dengan 22 warga asing ditahan kerana dipercayai melakukan kesalahan di bawah akta sama.
Secara keseluruhan, kedua-dua operasi itu melibatkan pemeriksaan terhadap 1,254 individu dengan 95 warga asing ditahan untuk siasatan lanjut mengikut peruntukan undang-undang imigresen yang berkuat kuasa.
JIM Selangor memaklumkan pihaknya akan terus mempergiat operasi penguatkuasaan secara berterusan bagi membanteras pelanggaran undang-undang imigresen serta memastikan majikan dan orang awam sentiasa mematuhi peraturan yang ditetapkan.
Menurut jabatan itu, mana-mana pihak diingatkan supaya tidak menggaji, melindungi atau memberi perlindungan kepada pendatang asing tanpa izin kerana tindakan tegas akan diambil terhadap individu yang didapati melanggar undang-undang. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – Imigresen Selangor
