CHEMOR – Kerajaan Perak terus komited membantu rakyat memiliki kediaman selesa, berkualiti dan mampu milik menerusi pembangunan Projek Rumah Perakku Astana Chemor yang merangkumi keseluruhan 184 unit rumah.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, projek itu melibatkan 114 unit rumah di bawah Fasa Satu, manakala Fasa Kedua pula menawarkan 70 unit rumah harga terbuka.
Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Majlis Penyerahan Kunci Rumah Perakku Astana Chemor Fasa Satu serta Pelancaran Astana Chemor Fasa Kedua di sini hari ini.
Menurutnya, lokasi projek yang berhampiran kawasan pembangunan perindustrian Silver Valley Technology Park (SVTP) di Kanthan turut memberi nilai tambah kepada pembangunan tersebut.
Pada majlis sama, Saarani turut merasmikan Jambatan Astana Chemor yang dijangka memudahkan pergerakan penduduk setempat sekali gus melengkapkan pembangunan di kawasan berkenaan.
“Kerajaan Negeri akan terus komited dalam menyediakan kediaman mampu milik yang berkualiti dan selamat kepada rakyat meskipun industri perumahan berdepan tekanan peningkatan kos pembinaan,” katanya. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – Saarani Mohamad
