KUALA TERENGGANU – Koperasi Homestay Teluk Ketapang (KHTK) dipilih mewakili Terengganu sebagai antara Pertubuhan Masyarakat Sivil (CSO) yang menghadiri majlis makan tengah hari bersama wakil Delegasi Kesatuan Eropah (EU) ke Malaysia dan kedutaan negara-negara anggota EU.
Pemilihan itu dibuat hasil pencalonan Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) Prof. Dr. Zuhairah Ariff Abd. Ghadas yang juga Non-Key Expert bagi EU-Malaysia Cooperation Facility (EUMYCF).
Menurut KHTK, majlis berkenaan menjadi platform terbaik untuk mengadakan dialog tidak rasmi, menjalin rangkaian kerjasama serta membincangkan pelbagai bidang berkepentingan bersama antara KHTK, Kesatuan Eropah dan kedutaan negara-negara anggota EU.
Dalam majlis sama, Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Teluk Ketapang turut menyampaikan plak cenderamata kepada Rafael Daerr yang mengetuai delegasi duta berkenaan.
KHTK berharap penyertaan dalam program itu dapat dimanfaatkan untuk mempromosikan produk pelancongan inap desa, warisan budaya dan keunikan identiti Terengganu kepada masyarakat antarabangsa, sekali gus membuka peluang kerjasama serta menarik lebih ramai pelancong asing ke negeri itu. – DETIK MALAYSIA
