SACHSENRING, JERMAN – Pelumba muda negara, Hakim Danish Ramli mengakui masalah cengkaman tayar belakang menjadi punca utama dia gagal bersaing dengan kelompok hadapan pada perlumbaan Moto3 Grand Prix (GP) Jerman di Litar Sachsenring, semalam.
Memulakan perlumbaan dari petak ketiga, pelumba AEON Credit-MT Helmets-MSi itu membuat permulaan cemerlang apabila melonjak ke kedudukan kedua sebelum menamatkan pusingan pertama di tangga keenam.
Bagaimanapun, pelumba berusia 18 tahun itu mula kehilangan rentak selepas tiga pusingan apabila motosikalnya mengalami masalah cengkaman tayar belakang, sekali gus menyukarkan usaha mengekalkan kepantasan.
Hakim akhirnya menamatkan perlumbaan di tempat ke-12 dengan catatan masa 33 minit 19.287 saat untuk mengutip empat mata kejuaraan dunia.
Keputusan itu menyaksikan jumlah kutipan mata musim ini meningkat kepada 86 mata selepas 11 pusingan, sekali gus mengekalkan kedudukan ketujuh keseluruhan dalam carta kejuaraan Moto3.
Selain itu, Hakim kini berada di tangga ketiga dalam saingan Pelumba Rokie Terbaik, hanya dibezakan empat mata di belakang pelumba Indonesia, Veda Pratama, manakala pendahulu kategori tersebut ialah Brian Uriarte dengan 127 mata.
Hakim berkata, hujung minggu di Sachsenring cukup mencabar apabila dia bergelut mencari tetapan terbaik jentera sejak sesi latihan.
“Secara keseluruhan, hujung minggu ini sangat mencabar buat saya. Dalam setiap sesi, saya bergelut dengan motosikal kerana mengalami gegaran setiap kali memasuki selekoh.
“Namun, pasukan tidak pernah berputus asa dan terus bekerja keras untuk mencari penyelesaian pada setiap sesi,” katanya.
Pada sesi kelayakan, Hakim mencipta sensasi apabila menggunakan tayar lembut untuk mencatat masa sepusingan terpantas 1:24.909 saat, sekali gus menghadiahkannya petak ketiga serta kedudukan barisan hadapan buat kali keempat musim ini.
Namun, katanya, simulasi perlumbaan pada sesi latihan bebas kedua (FP2) sudah memberi petanda bahawa perlumbaan sebenar tidak akan mudah.
“Dalam perlumbaan hari ini, saya cuba mengejar kelompok pendahulu dan memberikan saingan sebaik mungkin. Malangnya, saya tidak mendapat cengkaman yang baik pada tayar belakang.
“Setiap kali saya membuka pendikit minyak, motosikal hampir mengalami ‘high-side’, menyebabkan saya tidak mampu mengikut rentak pelumba di hadapan,” ujarnya.
Meskipun kecewa dengan keputusan tersebut, Hakim bertekad menjadikan perlumbaan di Jerman sebagai pengalaman berharga untuk terus memperbaiki kelemahan menjelang pusingan seterusnya.
“Saya akan jadikan perlumbaan ini sebagai pengalaman yang sangat berharga. Saya akan terus memperbaiki kelemahan, bekerja lebih keras dan berjuang untuk memperoleh keputusan yang lebih baik pada perlumbaan akan datang,” katanya. -DETIK MALAYSIA
Kredit foto – ZK Racing
